Dalam tinjauan pendapat yang dilakukan akhbar Sepanyol, AS hari ini, 72 peratus mahu pemain berusia 28 tahun itu dilepaskan, apatah lagi ia akan memberi laluan kepada kemasukan bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe dari Monaco.

Lebih 40,000 peminat mengambil bahagian dalam tinjauan pendapat yang dilakukan, dan perkembangan itu mungkin mampu memberi kesan kepada masa depan Bale di Santiago Bernabeu.

Pengurus Real, Zinedine Zidane menghangatkan keadaan apabila mengakui, Bale boleh meninggalkan Madrid pada musim panas ini.

“Saya harap BBC (Karim Benzema, Gareth Bale, Cristiano Ronaldo) kekal, namun bukan saya yang akan membuat keputusan,” kata Zidane kepada akhbar Marca.

Penjualan Bale mampu memberi dana kepada Zidane untuk mendapatkan Mbappe, 18, yang dianggarkan bernilai 160 juta pound (RM895 juta).

Perkembangan ini pasti berita baik buat United kerana pengurus mereka, Jose Mou­rinho sudah lama mengikuti perkembangan bekas bintang Tottenham itu.

Bale bagaimanapun berulang kali menegaskan, dia melihat masa depannya masih di Madrid.

“Saya gembira di Real Madrid dan tidak akan ke mana-mana. Mahu memenangi trofi bersama kelab terbaik di dunia,” tulis Bale dalam Twitter, semalam.

Bale turut memuatnaik gambarnya sedang berlatih bersama rakan sepasukan bersama ke­nyataan: “Memasuki tahun kelima yang hebat di kelab. Tidak sabar (memulakan musim baharu)”.

Desakan penyokong, yang turut melancarkan kempen di laman sosial yang meminta Bale dikeluarkan dari Bernabeu mungkin akan merubah fikiran pemain itu dalam masa terdekat.

Zidane juga perlu mengorbankan salah satu daripada trio serangannya – Ronaldo, Benzema atau Bale bagi memberi laluan kepada Mbappe, dan de­ngan perkembangan terbaharu ini, ia cukup jelas pemain mana yang bakal menjadi pilihan kelab untuk dikorbankan.