Berita tersebut hadir ketika Klopp masih bergelut untuk mempertahankan perancang utama Brazil, Philippe Coutinho yang terus diburu gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona selepas tawaran pertama mereka 72 juta pound (RM407.46 juta) ditolak oleh kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Akhbar Britain, Express Sports melaporkan, Inter sudah lama mengikuti perkembangan Mane dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk ‘melamar’ pemain antarabangsa Senegal itu.
Mane membuat kepulangan semula daripada kecederaan ketika membantu Reds menang 3-0 ke atas Hertha Berlin dalam aksi persahabatan hujung minggu lalu.
Liverpool mengeluarkan 34 juta pound (RM192.41 juta) ketika membawa masuk Mane dari Southampton pada musim panas tahun lalu, dan dia menjadi sebahagian daripada perancangan utama Klopp.
Pemain berusia 25 tahun itu meledak 13 gol dalam 29 penampilan buat Liverpool, sebelum dihimpit kecederaan lutut pada April yang menyebabkan dia terlepas beberapa perlawanan terakhir musim.
Klopp ketika ditanya mengenai usaha Barcelona untuk mendapatkan Coutinho, selain masa depan Mane di Anfield menegaskan, dia tidak meragui kedua-dua pemain akan kekal.
“Jika anda sudah diberitahu bahawa dia bukan untuk dijual, maka apa lagi yang boleh anda tafsirkan?.
“Perkataan ‘tidak’ bermaksud tiada apa yang hendak dibincangkan. Tiada perkara baharu,” kata jurulatih kelahiran Jerman itu.
Liverpool berdepan situasi bercampur baur sepanjang pramusim. Selain berusaha mempertahankan pemainnya dan melakukan beberapa pembelian, mereka juga dihimpit kontroversi ketika cuba mendapatkan Naby Keita dan Virgil van Dijk.
RB Leipzig menolak dua tawaran Liverpool untuk mendapatkan Keita.Tawaran pertama 57 juta pound (RM322.57 juta), diikuti 66 juta pound (RM373.50 juta).
Southampton pula mengingatkan tonggak pertahanan mereka, Van Dijk agar menghormati kontrak selepas menyelar tindakan Reds mengadakan rundingan dengan pemain Belanda tersebut secara sembunyi.