Bekas rakan sepasukan mereka dalam Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu S. Chanthuru dan Azammuddin Akil turut digugurkan manakala Safee Sali yang kini bermain untuk PKNS FC masih belum pulih daripada cedera patah tulang bahu.

Selain pemain Selangor, Amri turut digugurkan adalah Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Afif Amiruddin, Mohd. Faisal Mohd. Rosli (Pahang), Shahrul Saad (Perak), Mohd. Nazrin Syamsul Bahri (PKNS FC) serta Izham Tarmizi Roslan.

Dua lagi pemain iaitu Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih pula dilepaskan untuk bersama skuad bawah 22 tahun (B-22) yang sedang membuat persediaan untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dari 14 hingga 29 Ogos ini.

Untuk mengisi separuh kekosongan skuadnya, Vingada atau dikenali sebagai Profesor memanggil semula dua pemain JDT, Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang sebelum ini tersingkir kerana cedera.

Pengendali dari Portugal itu turut memanggil penjaga gol Farhan Abu Bakar dan Fitri Omar dari Kedah, Darren Lok dan Fadhli Shas (JDT), Nasir Basharudin dan Nazrin Nawi (Perak), Wan Zack Haikal Wan Nor (Felda United).

Vingada turut memberi peluang kepada pemain PKNP FC, Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Kiko Insa (Pahang) yang kali pertama dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

“Saya rasa berbaloi dengan apa yang sudah saya lakukan sepanjang musim ini apabila menjaringkan 10 gol dalam aksi liga dan tiga gol masing-masing dalam Piala Malaysia serta Piala FA.

“Panggilan ini semestinya adalah peluang kepada saya dan saya akan berusaha untuk mengekalkan momentum dan prestasi supaya dipanggil untuk masa akan datang.

“Memang tidak dapat dinafikan perasaan gemuruh itu ada kerana beraksi di pentas antarabangsa amat berbeza dengan liga domestik namun saya akan cuba menyesuaikan diri dengan pantas,” kata Shahrel ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Apa yang menariknya tentang Shahrel adalah dia pernah dinasihatkan oleh doktor supaya berhenti daripada bermain bola sepak akibat mengalami masalah jantung.

Skuad Harimau Malaya akan menjalani kem latihan di Melaka bermula 14 Ogos ini sebagai persediaan menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Syria di Stadium Hang Jebat pada 22 Ogos sebelum bertemu Macau di Kompleks Olimpik Macau (25 Ogos) dan menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon (29 Ogos).

Selepas itu, pasukan kebangsaan akan menghadapi Hong Kong dalam aksi kedua Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat pada 5 September.