Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tiga aspek bakal diberikan penekanan adalah kaunter jualan tiket, sistem pengimbas badan dan waktu penjualan tiket.

“Kita sudah berbincang dengan polis semalam dan akan melalukan beberapa perubahan. Pertama, tiket akan dijual lebih awal, enam jam sebelum sepak mula, kedua, kita akan tambah kaunter tiket dan ketiga kita juga akan menambah tenaga kerja di laluan masuk seperti sukarelawan, polis dan sebagainya.

“Dengan tiga langkah ini kita yakin dapat selesaikan sedikit masalah kecil yang dihadapi semalam dalam perlawanan peringkat kumpulan Sukan SEA 2017 melibatkan Malaysia dan Brunei di Stadium Shah Alam, Selangor,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Panduan Perjalanan Rapid KL sempena Sukan SEA 2017 serta merasmikan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil yang berwajah baharu bertemakan dunia sukan.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd. Datuk Ir Zohari Sulaiman.

Kebanyakan penyokong melahirkan rasa tidak puas hati berhubung waktu penjualan tiket serta kelancaran di pintu masuk Stadium Shah Alam semalam apabila mereka terpaksa menunggu lama untuk melepasi kawalan keselamatan yang disediakan di situ.