Biarpun berjaya mencapai sasaran mengutip tiga mata penuh, namun skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee gagal menundukkan lawan dengan perbezaan jaringan yang lebih besar seperti yang diharapkan penyokong.

Pemain-pemain negara dilihat sedikit gugup dalam perlawanan pertama dengan beberapa peluang keemasan yang terhidang gagal diterjemahkan dengan jaringan sambil Brunei memanfaatkan kelekaan barisan pertahanan menerusi gol yang berpunca daripada serangan balas pantas.

Lantaran itu, pelbagai komen dan kritikan diterima anak buah Kim Swee khususnya di media sosial disebabkan persembahan kurang meyakinkan dipamerkan dalam aksi pembukaan tersebut.

Mengkritik memang mudah namun cukupkah sokongan yang mereka berikan kepada skuad B-22 negara tanpa datang sendiri ke stadium bersama-sama menjadi pemain ke-12, sekali gus memberikan kegerunan kepada pihak lawan?

Jika dilihat bilangan penonton yang hadir menyaksikan perlawanan Isnin lalu, jumlahnya agak mengecewakan apabila hanya seramai 8,374 penyokong hadir ke Shah Alam.

Jumlah itu hanya 10 peratus daripada kapasiti Stadium Shah Alam yang mampu memuatkan sejumlah 80,000 penonton pada satu-satu masa.

Perlukah skuad negara beraksi di stadium berkapasiti lebih kecil seperti di Stadium Selayang yang mampu menampung sebanyak 16,000 penonton jika tiada peningkatan kehadiran penyokong pada aksi menentang Singapura malam ini?

Amat memalukan kita sebagai tuan rumah jika jumlah kehadiran penyokong konsisten di bawah 10,000 dalam setiap perlawanan.

Jadi, apa tunggu lagi, ayuh kita penuhkan Stadium Shah Alam malam ini bagi memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada anak buah Kim Swee yang pastinya akan berdepan saingan sengit musuh tradisi, Singapura untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan. – UTUSAN ONLINE