Jelas pemain Kedah itu, pasukannya tidak mengambil mudah perlawanan tersebut, namun keghairahan mereka memburu gol menyebabkan pertahanan leka sehingga membenarkan Brunei menyamakan kedudukan.
“Persembahan keseluruhan menunjukkan kami boleh memberi saingan dengan baik, namun daripada segi penyudah nampak kurang menyerlah. Ini adalah perkara yang perlu diberi tumpuan apabila bertemu Singapura.
“Banyak perkara yang perlu diperbaiki dan apa yang penting kami perlu tingkatkan lagi penyudah.
“Kita ambil perkara itu daripada sudut positif. Kita akan cuba lakukan dengan lebih baik untuk perlawanan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Shah Alam semalam.
Dalam perlawanan itu, kedua-dua gol Malaysia dijaringkan Safawi Rasid dan Adam Nor Azlin manakala gol tunggal lawan diperoleh menerusi Mohamed Zulkhairy Hady Razali.
Sementara itu, Safawi menyifatkan persembahannya belum memuaskan biarpun berjaya muncul wira dengan meledak gol pembukaan dan mencipta gerakan gol kedua.
“Alhamdulillah dapat tiga mata malam ini (semalam) dan dengan jaringan tersebut saya dapat membantu pasukan mendapatkan kemenangan.
“Pada babak pertama kami kurang memberangsangkan dan selepas separuh masa kedua kami berjaya tingkatkan lagi usaha.
“Kami bukan mengejar gol yang banyak tetapi peluang yang ada gagal diterjemahkan. Apa yang penting kami dapat curi tiga mata berharga,” katanya.