Bagi penyerang muda sensasi negara, N. Thanabalan, memiliki naluri ini umpama satu ‘keperluan tugas’ dalam mengepalai jentera serangan negara.
Kehebatan pemain dari Negeri Sembilan itu ketika berada dalam kotak penalti tidak dapat dinafikan apabila dia bijak menghidu bola dengan baik sehingga menjadikannya penjaring terbanyak Malaysia setakat ini, dengan tiga jaringan hasil daripada dua perlawanan peringkat kumpulan Sukan SEA 2017.
Dua gol ketika menumpaskan Myanmar 3-1 semalam dan satu lagi jaringan dilakukan ketika menundukkan Singapura 2-1 pada Rabu lalu pastinya menjadi tonik terbaik kepada penyerang Felcra FC itu untuk menjaringkan lebih banyak gol biarpun pernah dibelenggu masalah kecederaan lutut sebelum ini.
“Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberikan aksi 100 peratus dan peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan. Saya berharap kami dapat kekalkan momentum seperti ini.
“Saya tidak tahu sama ada dapat menjaringkan gol lagi selepas ini atau tidak tetapi kalau ada peluang pastinya saya mahu menjaringkan gol. Perlawanan belum habis lagi kerana selepas ini kita akan berjumpa dengan Laos pula.
“Naluri untuk menjaringkan gol penting begitu juga dengan ketepatan masa. Walau apa pun berlaku, penyerang perlu berada dalam kotak penalti sekiranya hantaran lintang dilakukan. Bola sampai atau tidak penyerang kena ada dalam kotak penalti,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Shah Alam semalam.
Malaysia yang sudah pun mengesahkan tiket ke separuh akhir akan menghadapi Laos di Stadium Shah Alam esok dalam aksi terakhir kumpulan dan jika menang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berpeluang untuk merampas kedudukan pendahulu kumpulan yang ketika ini menjadi milik Myanmar.
Myanmar dan Malaysia berkongsi sembilan mata namun dipisahkan dengan perbezaan gol.