Katanya, kemenangan 3-0 yang dilakar ketika menentang skuad Garuda Muda dalam kempen Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok pada bulan lalu tidak boleh dijadikan rujukan memandangkan Luis Milla melakukan perubahan terhadap pasukannya.

“Seperti sedia maklum kita dapat lihat Indonesia semakin bertambah baik dan jika diperhatikan di peringkat kumpulan, mereka berjaya mengikat Thailand dan Vietnam. Itu menunjukkan mereka tidak boleh diambil mudah.

“Kemenangan yang dilakar ketika beraksi di Thailand juga tidak boleh diambil kira. Pastinya ada pemain baru dalam skuad mereka dan selepas beraksi banyak perlawanan, ia dapat membentuk keserasian dalam pasukan mereka.

“Saya berharap pemain dapat menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri kerana saya percaya kehadiran peminat mampu menyuntik semangat kepada mereka,” katanya kepada pemberita di padang latihan Sime Darby, di sini, hari ini.

Indonesia mara ke separuh akhir selepas menduduki tangga kedua Kumpulan B apabila menewaskan Kemboja 2-0. Mereka juga berjaya mengikat Vietnam 0-0 dan mencatat keputusan 1-1 ketika bertemu Thailand di peringkat kumpulan.

Tambah Kim Swee, beliau mengenal pasti beberapa pemain Indonesia yang perlu dirantai, antaranya Hazra Ham Walian yang pernah bermain dengan skuad remaja Ajax Amsterdam.

Bagaimanapun, difahamkan Indonesia bakal kehilangan Muhamad Hargianto, Marinus Mariyanto dan Hasamu Yama Pranata selepas masing-masing digantung satu perlawanan kerana mengumpul dua kad kuning.

Kata pengendali dari Melaka itu, beliau berkemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat Ariff Farhan Md Isa dan S. Kumaahran selepas masing-masing mengalami kecederaan di lutut dan buku lali.

Kemenangan keatas Indonesia dalam kelayakan AFC 2018