Pengurus Arsenal, Arsene Wenger minggu lalu berkata, dia mahu pemain yang turut menjadi buruan Chelsea itu kekal di Emirates.

Chamberlain, 24, bagaimanapun membuat keputusan berhijrah ke Anfield selepas Liverpool menewaskan Gunners 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris minggu lalu.

Chamberlain menjadi pemain kedua termahal dibeli Liverpool selepas mendapatkan pemain kebangsaan Guinea, Naby Keita dari kelab Jerman, RB Leipzig pada harga 48 juta pound (RM264.76 juta).

Reds sebelum ini turut membayar 36.9 juta pound (RM203.22 juta) untuk bintang tengah Mesir, Mohamed Salah dari AS Roma.

“Saya gembira kerana menandatangani kontrak bersama Liverpool dan terima kasih kepada semua orang di sini.

“Sekarang saya bersama skuad England untuk menghadapi dua aksi antarabangsa tetapi saya tidak sabar mahu memulakan latihan di Melwood (pusat latihan Liverpool),” kata Chamberlain dalam laman web rasmi Liverpool.

Chamberlain telah membuat 130 penampilan bersama Arsenal dalam kempen Liga Perdana sejak 2011 dan boleh berada di posisi tengah serta kedua-dua bahagian sayap.