Updated: September 1, 2017
KUALA LUMPUR 30 Ogos – Penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli menyifatkan kesilapan yang dilakukannya ketika final Sukan SEA menentang Thailand di Stadium Shah Alam semalam yang berkesudahan tewas 0-1 menjadi pengajaran berguna buat dirinya.
Mengakui menjadi punca kepada kekalahan tersebut, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak mahu menoleh ke belakang sebaliknya terus pandang ke depan.
“Pertama sekali saya memohon maaf kepada semua kerana disebabkan prestasi dan kesilapan saya telah menjadi punca kepada kekalahan pasukan. Jika saya dipanggil lagi selepas ini saya akan buat yang terbaik.
“Pada waktu itu, bola berada dalam lencongan dan saya nak tumbuk tetapi dengan cuaca hujan dan basah menyebabkan saya terlepas melakukannya. Nak buat macam mana bukan rezeki saya dan bukannya saya sengaja. Kalau sengaja lebih baik saya beritahu awal-awal saya tidak mahu main,” katanya.
Haziq gagal menjinakkan sepakan sudut Sasalak Haiprakhon pada minit ke-38 sebelum bola masuk ke gawang sendiri. Kesilapan yang sama turut berlaku pada 16 tahun lalu apabila penjaga gol waktu itu, Kamarulzaman Hassan menampan bola masuk ke gawang sendiri menentang lawan yang sama juga di venue yang sama.
Tambah Haziq, dia berterima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang sentiasa memberi semangat dan menerima kritikan peminat dengan hati terbuka.
“Saya kecewa dengan kekalahan malam ini tetapi nak buat macam mana sebab dalam bola sepak sepuluh kali saya selamatkan gawang orang tak akan ingat, orang ingat satu sahaja kesilapan saya.
“Terima kasih kepada mereka yang memberikan semangat kepada saya dan siapa yang cakap (kritik) saya abaikan mungkin mereka tengah marah,” katanya.