Juara bertahan, Jerman pula membelasah Norway 6-0 dalam satu lagi saingan kelayakan Piala Dunia 2018 zon Eropah tetapi terpaksa menunggu sehingga bulan depan sebelum mengesahkan tempat ke Rusia.

Di Wembley, kesilapan Rashford telah membuka laluan kepada Stanislav Lobotka meledak gol pembukaan Slovakia seawal minit ketiga.

Penyerang berusia 19 tahun itu bagaimanapun menebusnya de­ngan menjadi perancang kepada jaringan penyamaan Eric Dier pada minit ke-37 sebelum menyumbat gol cantik dari jarak 18 meter pada minit ke-59.

Kemenangan tersebut meletakkan England mengungguli Kumpulan F dengan lima mata meninggalkan Slovakia.

Itu bermakna, skuad bimbingan Gareth Southgate hanya memerlukan dua mata daripada dua perlawanan terakhir menentang Slovenia dan Lithuania bagi memastikan slot ke Piala Dunia.

“Untuk bangkit daripada ke­tinggalan menentang sebuah pa­sukan yang dibarisi ramai pemain yang sangat bagus, terutama di posisi tengah, kami perlu menunjukkan karakter sebenar.

“Marcus Rashford telah membuktikan bahawa dia dan rakan sepasukannya yang lain memiliki perwatakan yang hebat.

“Dia memang ada melakukan kesilapan sehingga membuka peluang kepada lawan menjaringkan gol tetapi dia tidak berputus asa untuk terus berjuang,” kata Southgate.

Dalam aksi di Mercedes-Benz Arena, Stuttgart, Jerman melebarkan rekod lapan perlawanan tanpa kalah dengan menjadikan Norway mangsa terbaharu untuk kekal mendahului Kumpulan C.

Dua jaringan Timo Werner mengetuai pesta gol skuad bim­bingan Joachim Loew, manakala empat lagi gol disempurnakan oleh Mesut Ozil, Julian Draxler, Leon Goretzka serta Mario Gomez.

“Kejayaan ini amat bermakna kerana saya beraksi di tempat kelahiran saya. Saya membesar di sini dan amat berpuas hati dapat menjaringkan dua gol sebagai hadiah kepada penyokong,” kata Werner.

Jerman masih belum tewas dalam 17 perlawanan terakhir mereka, dan kali terakhir tumpas adalah pada separuh akhir Kejohanan Eropah 2016 di tangan Perancis.

Bagaimanapun, kemenangan 2-0 yang dilakar Ireland Utara ke atas Republik Czech memaksa Jerman menunggu sehingga aksi kelayakan berikutnya iaitu menentang pasukan itu di Belfast pada 5 Oktober bagi mengesahkan slot ke Piala Dunia.