Aksi Korea Utara-Malaysia ditunda lagi

By
Updated: September 28, 2017

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Perlawanan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia yang dijadualkan pada 5 Oktober 2017 di Pyongyang, ditunda buat kali ketiga ke tarikh lain.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata, perkara tersebut dibuat setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan kepada mereka bahawa Kementerian Luar mengeluarkan arahan larangan perjalanan kepada seluruh rakyat di negara ini ke Korea Utara berkuat kuasa serta-merta.
“Memandangkan maklumat ini, AFC telah menangguhkan perlawanan Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia, yang dijadualkan dimainkan di Pyongyang pada 5 Oktober 2017.

“AFC kini akan merujuk perkara itu kepada jawatankuasa yang sesuai untuk menentukan status masa depan perlawanan ini,” maklum mereka dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Luar hari ini mengeluarkan arahan larangan perjalanan kepada seluruh rakyat negara ini ke Korea Utara sehingga diberitahu kelak.

Menurutnya kementerian tersebut dalam satu kenyataan, perintah larangan itu dibuat berikutan keadaan tegang di Semenanjung Korea dan berkaitan dengan kebimbangan pelancaran ujian peluru berpandu oleh negara tersebut.