Tunku Ismail turut mendedahkan ada segelintir Exco yang bersekongkol mahu beliau melepaskan jawatan dan ada juga yang cuba mengeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam.

“Mereka bukan sahaja cuba nak singkirkan dia, malah nak singkirkan saya juga sebagai Presiden FAM. Terus terang saya katakan, ramai dalam FAM yang berangan yang hendakkan jawatan Presiden.

“Ramai juga yang kadang-kadang suruh media tulis macam-macam dengan harapan saya akan bosan dan angkat kaki, maka dapatlah peluang untuk jadi Presiden FAM. Perkara itu takkan berlaku.

“Saya juga tahu ada yang bermain politik di dalam FAM sampai hendak membawa syarikat menaja liga Malaysia pun ada politik kononnya hendak buat konsortium dan syarikat sendiri tanpa melalui FMLLP.

“Perkara ini sedang berlaku tetapi selagi saya masih berada di FAM, ja­ngan haraplah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Kongres Johor Darul Ta’zim (JDT) di sini, hari ini.

Tunku Ismail memberitahu, beliau amat berpuas hati dengan cara kerja Kevin biarpun ada usaha untuk menyingkirkannya.

“Pelantikan CEO FMLLP adalah tertakluk kepada kuasa Presiden FAM, kalau esok saya lantik orang lain, maka orang lainlah yang akan ambil alih.

“Tapi buat masa ini, dia buat kerja dengan betul dan mampu menjawab sebarangan pertanyaan berdasarkan fakta yang tepat, jadi saya fikir dia boleh terus meme­gang jawatan.

“Saya tahu dalam FAM ada beberapa Exco yang tidak berapa setuju dengan pendapat saya ke­rana mereka hendak orang mereka sendiri tapi maaflah, ini persatuan bola sepak bukan parti politik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail mendedahkan, JDT berhasrat untuk menyambar sekurang-kurangnya satu atau dua pemain import sebagai persiapan memperkuatkan pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia dan Piala AFC musim depan.

Katanya, skuad Harimau Selatan juga akan diperkuatkan dengan kemasukan tiga atau empat pemain tempatan yang bakal ditandatangani pada jendela perpindahan awal musim 2018.

“Pada musim depan, kita akan bawa masuk satu atau dua pemain import dan tiga ke empat pemain tempatan.

Bagi JDT II, jumlah itu akan lebih ramai kerana beberapa pemain dari JDT III akan di­serap masuk ke dalam pasukan.

“Sebenarnya, kami tidak ada masalah untuk membawa masuk pemain muda kerana mereka berada dalam kelab yang sama. Tiada wujud istilah ‘feeder club’, FMLLP yang pandai-pandai letak syarat ini dahulu.

“Kalau kita tengok pa­sukan bola sepak Eropah seperti Manchester United, Barcelona FC, Real Madrid mana ada ‘feeder club’. Ia sepatutnya ‘Development Club’ (Kelab Pembangunan) yang tidak bersyarat untuk mengambil mana-mana pemain muda untuk beraksi bersama JDT,” katanya lagi.