The Shield kembali; Kalisto buat Enzo gigit jari

By
Updated: October 13, 2017

Cakap-cakap yang mengatakan bahawa gabungan tiga jaguh kembali bersatu di bawah nama yang sama iaitu The Shield menjadi kenyataan apabila mereka muncul bersama buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun di acara Raw, semalam.

Roman Reigns tampil bersendirian mendepani The Miz yang ketika itu sedang mengendalikan segmen Miz TV yang turut disertai Curtis Axel, Sheamus dan Cesaro. Melihatkan hanya Roman yang muncul, Miz mempersendakan bekas Juara Heavyweight Dunia itu dengan mengatakan cerita tentang bersatunya The Shield kembali hanyalah omong kosong dan tidak lebih daripada sekadar khabar angin.

Muka Miz berubah pucat apabila lagu tema The Lunatic Fringe pula bergema, disusuli muzik Burn It Down milik Seth Rollins tidak lama kemudian. Tiga jaguh ini berdiri gagah di pentas dengan misi dan visi yang sama, membuatkan Miz dan sekutunya di dalam gelanggang tidak keruan.

Ibarat sekawan serigala, The Shield menuju ke gelanggang dengan masing-masing berada di tiga sudut berbeza sepertimana yang biasa mereka lakukan semasa zaman kegemilangan trio ini pada 2012 hingga 2014 yang lalu. Dengan mudah, Cesaro, Sheamus dan Axel dihambat keluar dari gelanggang hasil beberapa tumbukan layang Superman oleh Roman, meninggalkan The Miz menelan liur ketakutan bersendirian.

Miz cuba untuk melarikan diri namun segera dihalang oleh Ambrose dan Rollins. Rindu peminat kepada The Shield terus terubat apabila Ambrose dan Rollins menjulang Miz ke bahu Roman, dan menghadiahkan sebuah Bantingan Peledak Ganda Tiga yang merupakan gerakan penyudah yang amat sinonim dengan pasukan Hounds of Justice ini.

Peminat semakin menjerit histeria kerana dihambat kegembiraan apabila Roman, Ambrose dan Rollins mendepakan genggaman tangan masing-masing selajur memberikan simbol isyarat The Shield yang menunjukkan mereka kini telah kembali bertiga dan tiada siapa mampu menghalang kemaraan mereka selepas ini.

Disulami semangat setiakawan baharu yang telah bertunas semula setelah sekian lama diracuni, bukan The Miz seorang sahaja menjadi mangsa The Shield semalam. Bintang gergasi Braun Strowman turut mendapat habuannya apabila menerima bantingan peledak yang sama. Cuma ia lebih ‘lemak berkrim’ apabila tubuh Strowman dihempas di atas meja pengulas yang diduduki Michael Cole, Corey Graves dan Booker T.

Jika sebelum itu ketiga mereka berpakaian mengikut identiti sendiri, kali ini keseragaman mula ditampilkan apabila Roman, Ambrose dan Rollins menyarung baju T yang sama menunjukkan solidariti mereka.

Pengurus Besar Raw, Kurt Angle yang turut sama menyaksikan penyatuan semula The Shield tersebut kemudian membuat pengumuman yang trio ini akan sekali lagi beraksi di bawah pasukan yang sama di acara WWE TLC pada dua minggu akan datang. Shield akan berhadapan gabungan Juara Antara Benua The Miz, Sheamus, Cesaro dan tidak ketinggalan Braun Strowman yang juga berdendam dengan musuh yang sama.

Perlawanan tiga lawan empat ini pastinya menjanjikan aksi yang memukau apabila ia ditetapkan sebagai perlawanan melibatkan Tangga, Meja dan Kerusi di mana semua senjata ini boleh digunakan tanpa sebarang sekatan undang-undang.

Apa yang paling menarik tentang penyatuan The Shield ini pastinya tertumpu kepada Roman Reigns. Para peminat dilihat tidak lagi memberi sorakan ‘boo’ terhadap Roman dan kelihatan para WWE Universe selesa dengan Roman versi The Shield. Malah Roman turut mendapat sorakan positif semasa melakukan serangan terhadap Miz dan Strowman.

Begitu bijak nampaknya WWE mengatur strategi untuk membuatkan para peminat kembali memberi sokongan kepada Roman. Jika kena dengan gayanya, momentum ini pastinya dapat membantu The Big Dog kembali menjadi feveret rakyat jelata sebagai bintang utama WWE dalam misi merampas Kejuaraan Universal WWE daripada Brock Lesnar selewat-lewatnya di acara Wrestlemania pada April tahun hadapan.

Kalisto tutup mulut Enzo Amore

Satu lagi momen penting acara Raw semalam adalah di perlawanan kemuncak apabila Juara Cruiserweight WWE, Enzo Amore menerima tentangan daripada Kalisto yang dinamakan sebagai pencabar utama kejuaraan tersebut oleh Kurt Angle.

Dengan stipulasi perlawanan yang melibatkan para bintang 205 Live sebagai lumberjacks yang mengelilingi gelanggang, Kalisto mudah membenam Enzo dengan satu gerakan cantik Salida Del Sol dari tali paling atas gelanggang ke atas bintang bermulut celupar itu.

Usai perlawanan, Enzo yang ditemubual di belakang tabir menyalahkan bintang 205 terutama Mustafa Ali yang menurutnya telah mengganggu fokusnya. Enzo berjanji tidak akan menyerah kalah dan sesuatu akan dilakukan untuk menebus segala apa yang berlaku.

Bagi Kalisto pula, kemenangan ini didedikasikan khas buat lagenda mendiang Eddie Guererro dan menganggap kemenangan ini sebagai hadiah ulangtahun kelahiran buat lagenda Mexico itu.

Bekas Juara Heavyweight WWE yang juga bintang bertopeng paling popular dalam sejarah, Rey Mysterio turut berkongsi rasa bangganya kerana buat julung-julung kalinya dalam sejarah, perlawanan divisyen Cruiserweight menjadi perlawanan kemuncak acara Raw.