WWE Hell In A Cell 2017: Sengketa Shane-Owens belum berakhir

By
Updated: October 13, 2017

Mendebarkan! Mungkin itulah perkataan yang paling sesuai bagi menggambarkan perasaan ketika menonton perlawanan kemuncak acara WWE Hell In A Cell melibatkan Pesuruhjaya Smackdown Live, Shane McMahon dengan Kevin Owens, semalam.

Setelah berbulan-bulan saling bertikam lidah dan cabar mencabar, akhirnya Shane McMahon dan Kevin Owens dipertemukan dalam perlawanan yang amat mencabar fizikal di mana keduanya bertarung di dalam kamar jaring besi yang diberi jolokan sebagai Sangkar Neraka ini.

Sangkar raksasa dengan besi seberat 5 tan dan mempunyai ketinggian 20 kaki ini ternyata masih belum mampu untuk menahan asakan demi asakan oleh kedua penggusti yang penuh kesumat di dada ini. Pelbagai objek asing turut digunakan bagi melemahkan lawan masing-masing dalam perlawanan yang tiada sekatan undang-undang dan kiraan pin yang boleh dilakukan di masa sahaja.

Seperti dijangka, perlawanan melarat hingga ke luar sangkar besi apabila pada satu ketika, Shane O Mac bertindak memecahkan kunci mangga yang mengikat pintu masuk sangkar lantas mengheret Owens ke luar. Meja pengulas di sisi gelanggang pula menjadi ruang bagi melampiaskan amarah.

Owens yang pertama kali bertarung dalam persekitaran perlawanan sebegini cuba bertindak berani apabila memanjat naik sangkar setinggi 20 kaki tersebut bagi memberikan momentum hempasan yang lebih tinggi kepada Shane yang sedang terbaring lesu di meja pengulas. Namun setelah sampai ke atas dan menyedari yang ia bukanlah suatu tugasan yang mudah, Owens membatalkan niatnya untuk terjun ke bawah.

Melihatkan Owens yang masih teragak-agak, anak lelaki Vince McMahon ini pula bangkit dan memanjat sangkar ke atas. Para penonton di arena (termasuk penulis) mula tidak senang duduk kerana perlawanan Hell In A Cell seakan telah bertukar nama kepada Hell On A Cell apabila keduanya mula bergusti di puncak sangkar yang rapuh itu.

Owens cuba untuk mengulang kembali sejarah pada 19 tahun dulu yang mana menyaksikan Mankind dilontar ke bawah oleh Undertaker sehingga meja pengulas pecah berderai ke atas Shane. Mujur Shane bijak mengelak dan membuatkan Owens mula muak lantas mula untuk turun ke bawah semula.

Ketika keduanya tergantung di dinding sangkar, Shane mengambil kesempatan dengan melakukan serangan ke atas belakang Owens. Ibarat nangka busuk, tubuh gempal Owens melayang jatuh ke bawah tepat ke atas meja pengulas. Mujur ketinggian semasa insiden kejatuhan ini kurang 10 kaki berbanding ketika di atas puncak sangkar sebelum itu.


Pasukan perubatan berkejar untuk memeriksa kondisi Owens. Shane yang masih belum puas mengheret Owens ke atas meja pengulas utama. Sambil mendongak ke atas sangkar, penonton sudah boleh mengagak yang Shane ingin mengulangi semula kerja gilanya seperti di acara Wrestlemania tahun lalu iaitu melakukan jatuhan siku dari puncak sangkar.

Shane memanjat semula. Owens masih tidak sedarkan diri. Sasaran dari ketinggian 20 kaki dikunci. Umpama skuad tentera berani mati Kamikaze Jepun, Shane terjun ke bawah dan malang sekali, Owens berjaya mengelak.

Yang paling mengejutkan bukanlah sebab Owens yang bijak menghidu terjunan layang Shane. Sebaliknya kemunculan musuh ketat Owens, Sami Zayn yang muncul secara tiba-tiba membantu menarik tangan Owens sebelum tubuh Shane mencecah ke tanah. Siapa sangka Zayn kini sanggup melupakan segala sengketa antaranya dengan Owens sejak mereka berdua menyertai WWE dengan membantu rakan senegaranya itu.

Tindakan Sami juga jelas yang dirinya kini ingin menautkan kembali persahabatannya dengan Owens apabila meletakkan Owens di atas tubuh Shane dan memaksa pengadil menyelesaikan kiraan pin. Owens diisytiharkan sebagai pemenang hasil bantuan Sami Zayn.

Seakan ingin mengucapkan terima kasih, Owens melalui sebuah hantaran di laman Instagram, telah memuatnaik sekeping foto lama yang memperlihatkan dirinya berpelukan dengan Zayn yang ketika itu membawa watak penggusti bertopeng El Generico semasa mereka sama-sama dalam satu pasukan regu di sirkit bebas sebelum menyertai WWE.

Tindakan Sami ini pastinya mengundang seribu persoalan. Namun sebagai peminat, kita boleh mengagak apa rasionalnya tindakannya itu. Sejak menyertai roster utama WWE pada dua tahun lalu, tidak banyak pencapaian yang digapai bintang Kanada berketurunan Syria ini. Kebanyakan peranannya selama ini hanya dilihat sekadar mengisi slot sahaja tanpa diberi peluang untuk menggapai sebarang kejuaraan.

Sami sedar yang dirinya tidak boleh terus menjadi ‘budak baik’. Sesuatu yang radikal harus dilakukan bagi memastikan dirinya kekal relevan. Justeru, bersekutu dengan sahabat baiknya Kevin Owens adalah tindakan yang tepat kerana Owens pasti mampu membawa nama Sami kembali menjadi sebutan ramai setelah dipandang sepi sebelum ini.

Natijah daripada apa yang berlaku, tidak mustahil sengketa antara Owens dan Shane ini tidak akan berakhir begitu sahaja. Kini spekulasi mula bertiup yang Shane akan membentuk pasukannya sendiri bagi mendepani Owens dan Sami di acara WWE Survivor Series bulan hadapan. Antara individu yang disebut-sebut untuk menyertai pasukan Shane adalah bekas Juara Amerika Syarikat, AJ Styles yang terlepas kejuaraannya kepada Baron Corbin dalam perlawanan tiga penjuru di antara AJ, Corbin dan Tye Dillinger di acara yang sama semalam.

Satu lagi perlawanan Hell In A Cell yang berlangsung semalam juga wajar diberikan pujian. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Regu Smackdown melibatkan trio juara New Day menentang pasangan The Usos ini juga tidak kurang hebatnya. Ia ibarat perlawanan yang menyatukan semua elemen ekstrim apabila pelbagai senjata digunakan bagi menambah rencah kehebatan perlawanan.

Xavier Woods turut berkongsi video yang memaparkan kecederaan yang dialami setelah menerima pukulan rotan kendo bertalu-talu oleh anak kembar lagenda Rikishi Phatu ini. Akhirnya, Usos kembali bergelar juara apabila berjaya menundukkan New Day dengan menjadi juara buat kali kelima.