Penyerang berusia 29 tahun itu terlepas aksi menentang penyandang juara EPL, Chelsea yang berkesudahan menang 1-0 malah tidak menyertai skuad kebangsaan Argentina dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 bagaimanapun Aguero dilihat menjalani latihan bersama kesebelasan utama skuad The Citizens.

Pengurus City, Pep Guardiola berkata, Aguero yang menjaringkan enam gol daripada enam aksi EPL musim ini masih belum cergas sepenuhnya namun pemain itu menunjukkan perkembangan positif.

“Selepas apa yang berlaku dia kembali menjalani latihan bersama pasukan. Dia bermain dengan baik dan diharapkan dia kembali bersama pasukan secepat yang mungkin. Mungkin (bermain menentang Stoke. Hari ini (semalam) sesi terakhir latihan dan kita tengok apa yang boleh dilakukan.

“Dia belum cergas sepenuhnya dan sedang menjalani pemulihan. Kita akan memantau namun kami gembira dia sudah kembali menjalani latihan,” kata Guardiola.

City tidak dapat menggunakan kapten, Vincent Kompany yang masih menjalani pemulihan ekoran kecederaan betis ketika bermain bersama Belgium pada Ogos lalu.

“Dia semakin pulih cuma masih cedera dan diharapkan dia berada di fasa pemulihan yang terakhir namun bergantung kepada keadaan,” kata Guardiola.