Napoli bakal rehatkan pemain utama

By
Updated: October 17, 2017

ITALI 17 Okt. – Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis mahu beberapa pemain utama pasukan itu direhatkan bagi menghadapi Manchester City dalam aksi Kumpulan F Liga Juara-Juara di Stadium Etihad awal pagi esok (waktu Malaysia).

Pendahulu Serie A itu bakal menghadapi perlawanan penting dalam liga domestik apabila dijadual menentang Inter Milan pada Sabtu ini di mana mereka masih segar dengan kejayaan menundukkan AC Milan 3-2, Ahad lalu.
Kemenangan itu membolehkan Inter mengekori rapat untuk berada di tangga kedua ketinggalan dua mata di belakang Napoli yang menduduki tangga teratas dengan 24 mata.

“Pemain yang sudah bermain dalam banyak perlawanan patut direhatkan untuk memastikan mereka segar dalam aksi seterusnya. Perlawanan menentang Inter penting,” katanya.

City menerima kunjungan Napoli berusaha untuk mengekalkan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan F dan tiga mata mengatasi Shakhtar Donetsk dan Napoli.

Napoli yang masih kekal rekod tanpa kalah dalam Serie A tidak dapat meneruskan rentak kecemerlangan mereka itu dalam kempen Liga Juara-Juara apabila tumpas 2-1 kepada Shakhtar dalam aksi pembukaan kejohanan sebelum menewaskan Feyenoord 3-1.

“Di pentas Eropah kita patut bimbang hanya untuk melayakkan diri sahaja, bukannya perlu memenangi kesemua perlawanan,” tambah De Laurentiis.