Siapa calon pencabar Kejuaraan Universal selepas ini?; Jeff Hardy terpaksa berehat panjang

By
Updated: October 18, 2017
Setelah satu demi satu pencabar kepada Kejuaraan Universal WWE gagal dalam misi mereka untuk merampas kejuaraan itu daripada Brock Lesnar, kini tiba giliran pencabar baharu pula bagi menggalas tanggungjawab tersebut.

Menurut Dave Meltzer dalam edisi terkini Wrestling Observer Radio, bintang Ireland Finn Balor pula akan menjadi calon seterusnya bagi melaksanakan ‘misi mustahil’ ini. Selepas Samoa Joe dan Braun Strowman, tiada siapa yang lebih layak untuk mengisi tempat tersebut selain bekas Juara Universal pertama WWE ini.

Balor atau nama sebenarnya Fergal Devitt, 36, yang kini masih berseteru dengan Bray Wyatt, dijangka akan menyelesaikan sengketa antara mereka di acara Meja, Tangga & Kerusi (TLC) yang akan berlangsung pada 23 Oktober depan. Setelah itu, perhatian Balor akan diarahkan pula kepada hadiah yang paling diidamkan, Kejuaraan Universal WWE yang kini masih kemas terlilit di pinggang Brock Lesnar.

Pertemuan antara Lesnar dan Balor ini dijangka akan berlangsung pada 20 November 2017 di acara WWE Survivor Series. Dengan baki masa sekitar empat minggu, persengketaan antara Balor dan Lesnar akan mula dirancakkan bagi menghangatkan lagi saingan bagi kejuaraan utama Raw ini kelak.

Tanpa menafikan kehebatan Balor yang pernah bergelar Juara NXT paling lama setakat ini, di samping rekod cemerlangnya semasa beraksi di sirkit antarabangsa seperti New Japan Pro Wrestling, pemilihan dirinya sebagai pencabar utama pastinya akan membuatkan para peminat tidak meletakkan harapan yang tinggi untuknya. Selain faktor fizikal, Balor dijangka akan menghadapi laluan sukar kerana dua jaguh sebelum ini telah gagal menumbangkan Lesnar walaupun di atas kertas, mereka mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding The Beast.

Dengan berat badan hanya sekitar 86 kilogram berbanding Brock Lesnar yang mempunyai berat 130 kilogram, sudah tentu Balor akan menjadi pencabar ‘underdog’. Sedangkan Braun Strowman dan Samoe Joe yang lebih berat pun boleh dibawa bersiar ke ‘Kota Suplex’ dan dijulang dalam pusingan maut F5, bayangkan apa yang akan terjadi kepada Balor yang lebih ringan. Pasti tubuhnya akan melayang bak dipuput bayu laut dengan mudah oleh Lesnar.

Namun perlu diingat yang berat badan bukan ukuran penting dalam menentukan kalah menang seseorang bintang itu. Balor seperti semua sedia maklum, merupakan bintang yang gemar mempamerkan aksi akrobatik dan berisiko tinggi. Gerak tubuhnya pasti lebih tangkas dan pantas berbanding Lesnar dan dari situ, pebagai strategi boleh diatur bagi menumbangkan haiwan buas tersebut.

Balor boleh membuat helah dengan berlari ke sini sana bagi memengahkan Lesnar. Atau serangan boleh ditumpukan ke satu-satu anggota sahaja seperti kaki bagi membuatkan Lesnar tidak mampu berdiri dengan baik. Semua itu boleh direncanakan dan jika kena dengan tempatnya, tidak mustahil Balor mampu membenam Lesnar.

Berbekalkan rekod sebagai Juara IWGP Junior Heavyweight sebanyak 3 kali semasa bergusti di New Japan dulu, sudah tentu pengalaman berharga itu dapat dimanfaatkan sebaiknya. Jika ingin menambah rencah kegentaran, Balor boleh melakukan transisi karakternya kepada Raja Jembalang dengan bercat seluruh muka dan tubuh. Dengan watak ini, Balor tidak terikat dengan karakter ‘baik hatinya’ dan boleh melakukan apa sahaja untuk menumbangkan Lesnar.

Sebagai bekas Juara Universal WWE yang pertama, Balor juga boleh dikira layak kerana selepas melepaskan kejuaraan ini pada Ogos tahun lalu (sehari selepas beliau memenanginya di acara Summerslam) akibat kecederaan bahu, beliau masih belum menuntut klausa perlawanan semula dan hanya terikat dengan sengketa yang kurang hala tuju sepanjang tahun ini.

Ini sekaligus dapat menaikkan kembali saham Balor dalam industri dan namanya akan gah semula sebagai antara bintang utama di jenama Raw yang wajar dipandang dengan serius.

Sama ada Balor mampu atau tidak, hanya masa yang akan menentukan. Sekiranya Balor juga gagal, nampaknya Lesnar akan terus memegang Kejuaraan Universal sehingga tahun hadapan dan sudah tentu, Roman Reigns yang kini dianggap Abang Long belakang tabir pula akan ke hadapan dan bertemu Lesnar selewatnya di acara Wrestlemania pada April.

Jeff Hardy berehat panjang

Bekas Juara Regu dan Juara WWE, Jeff Hardy terpaksa melupakan seketika kerjayanya di dalam gelanggang kerana disahkan mengalami kecederaan tulang bahu dan perlu menjalani pembedahan pada Selasa depan.

Kecederaan ini dipercayai berlaku sejak Julai lalu di acara Great Balls of Fire dan Hardy sedaya upaya menyembunyikan kesakitannya. Namun ia dilihat tidak lagi tertanggung apabila minggu lalu, beliau terpaksa menarik diri daripada beraksi di sebuah acara live event dan hanya abangnya Matt sahaja yang beraksi sendirian.

Kecederaan kali ini memungkinkan Jeff untuk menjalani pemulihan dan berehat selama beberapa bulan akan datang. Tidak mustahil, Jeff tidak akan dapat beraksi dan mungkin akan terlepas acara Wrestlemania yang hanya berbaki 6 bulan dari sekarang.

Pastinya situasi ini akan memberi impak kepada Matt selaku pasangan regunya. Nampaknya terpaksalah Matt bergerak solo dan melakukan sesuatu agar dirinya kekal relevan. Seperti kembali ke karakter Broken nya yang pernah menjadi fenomena di Impact Wrestling tahun lalu.

Semoga Brother Nero cepat sembuh.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan  saksikan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.