Kelab Perancis itu menang 2-1 tetapi keputusan itu diba­yangi aksi kurang menyenangkan pada separuh masa kedua apabila kapten Everton, Ashley Williams menolak penjaga gawang Lyon, Anthony Lopes.

Dalam aksi itu, seorang penyokong Everton muncul dan menumbuk Lopes dengan menggunakan satu tangan manakala satu lagi tangannya memegang bayi.

“Ada seorang penyokong menumbuknya dan ia bukan sesuatu yang normal.

“Ketika itu, kami perlu membantu antara satu sama lain, kekal sebagai satu pasukan dan itu yang saya cuba lakukan,” kata Bertrand Traore, penyerang dari Burkina Faso yang meledak gol kemenangan dalam perlawanan itu.

Penyokong itu juga bertindak menyerang pertahanan pelawat, Mouctar Diakhaby.

Pengendali Everton yang ber­ada di bawah tekanan, Ronald Koeman berusaha untuk tidak memanjangkan isu berkenaan.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Ia bermula dengan Ashley dan pemain pertahanan Lyon, ramai pemain yang terlibat,” katanya.

“Perlawanan ini penuh emosi. Kami mahu menang, mereka juga sama tetapi ada perkara lain yang berlaku. Ia tidak mungkin berlaku dalam perlawanan lain,” kata pertahanan Everton, Williams kepada BT Sports.