Mengulas perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Shaharol Niza Omar berkata, beberapa penambahbaikan dijalankan KFA nyata ‘menjadi’ sekali gus mengelakkan rasa tidak puas hati ramai pihak yang terpaksa berebut-rebut mendapatkan tiket.

“Antara penambah baikan dibuat adalah penjualan 5,000 tiket secara atas talian lebih awal iaitu kira-kira dua minggu sebelum perlawanan berlangsung. Selain itu, kami turut memberi kemudahan kepada kelab-kelab penyokong yang berdaftar dengan KFA untuk mendapatkan tiket secara pukal dengan peruntukan sebanyak 2,000 keping.

“Di samping itu, beberapa anggota polis serta sukarelawan KFA ditugaskan menjaga kaunter bagi mengelakkan kejadian memotong barisan. Saya fikir semua aspek ini selain sikap penyokong yang kian berdisiplin banyak membantu melancarkan jualan keseluruhan 25,000 tiket,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu beberapa pengunjung ditemui mendakwa, mereka telah berada di pekarangan stadium sejak awal pagi lagi dan tidur di depan kaunter untuk membeli tiket awal.

Salah seorang daripada mereka, Ismail Matt, 40, berkata, dia bersama ahli keluarganya turut membawa tikar dan surat khabar bagi dijadikan alas untuk duduk dan berbaring di depan kaunter sejak pukul 3 pagi.

“Ramai ahli keluarga saya termasuk sepupu dan anak saudara yang mahu menyaksikan aksi Kedah di stadium malam ini. Disebabkan itu, kami hadir seramai enam orang ke sini dengan menaiki sebuah kereta bagi mendapatkan 18 tiket maksimum.

“Apabila saya tiba awal pagi ini, sudah ramai yang datang lebih awal untuk berada di barisan depan. Apabila kaunter dibuka pada pukul 10 pagi, kami mengambil masa selama 40 minit untuk tiba di depan kaunter,” katanya.

Dalam pada itu, Norshahrin Mansor, 37, sanggup memandu selama hampir sejam dari Merbok semata-mata untuk beratur bagi mendapatkan tiket sejak pukul 4 pagi tadi.

“Setiap tahun memang beginilah keadaannya apabila Kedah mara ke separuh akhir atau final. Tetapi tahun ini, tidaklah kalut sangat macam tahun-tahun sebelumnya,” katanya yang mengharapkan kemenangan 2-1 untuk skuad Lang Merah, malam ini.