Updated: October 26, 2017
KUANTAN 26 Okt. – Pasukan bola sepak daerah Jerantut mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang setelah menewaskan Bera 5-0 di Padang Majlis Daerah Jerantut, dekat sini semalam.
Kemenangan itu menyaksikan Jerantut menewaskan Bera dengan agregat 6-3 selepas tewa 1-3 pada perlawanan separuh akhir pertama di Bera, Jumaat lalu.
Menerusi kemenangan itu, Jerantut akan berdepan Temerloh pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh, dekat sini Ahad ini.
Pada perlawanan separuh akhir kedua semalam, Jerantut bermula garang apabila menguasai sebahagian besar perlawanan dan menjaringkan gol pertama pada minit kedua perlawanan sebelum menambah jaringan pada minit ke-17, 35 dan ke-39.
Bersambung babak kedua, walaupun terus menguasai sebahagian besar perlawanan, namun beberapa peluang terhidang gagal dimanfaatkan pasukan Jerantut sehingga gol kelima muncul pada minit ke-86.
Ketua Jurulatih Jerantut, Ahmad Nazri Mohd. Noor bersyukur dengan kemenangan tersebut dan mahu para pemainnya fokus menghadapi perlawanan akhir.
“Saya berbangga dengan komitmen dan kesungguhan para pemain yang berusaha mencapai kemenangan kerana menyedari hanya kemenangan boleh membawa kami ke perlawanan akhir,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Temerloh mara ke perlawanan akhir setelah menewaskan Bentong 1-0 pada perlawanan di Temerloh semalam.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan separuh akhir pertama di Bentong, Jumaat lalu.