Kante mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi bersama Perancis pada awal bulan lalu dan terlepas lima perlawanan Chelsea termasuk terikat 3-3 menentang Roma di Stamford Bridge 11 hari lalu.

The Blues kini mengungguli Kumpulan C dengan tujuh mata dan sekiranya menang di Stadio Olimpico itu bermakna Chelsa sah ke pusingan 16 pasukan terakhir, namun Conte memberitahu dia tidak mahu mengambil risiko sekiranya Kante masih belum pulih sepenuhnya.

“Dia (Kante) mungkin sudah bersedia. Saya tahu kepentingan pemain ini. Saya perlu pastikan dia benar-benar sudah bersedia. Saya harap dia dapat beraksi menentang Roma namun saya tidak sanggup mengambil risiko. Jika dia bersedia, dia main,” kata Conte.

Selepas mencatat dua kemenangan dalam aksi liga menentang Watford (4-2) dan Bournemouth (1-0) serta menewaskan Everton dalam kempen Piala Liga membuatkan Chelsea berada di kedudukan terbaik dan Conte mengakui keyakinan pemainnya berada di tahap terbaik.

“Kemenangan ini memberi kami semangat, bagus untuk kami menang kerana selepas ini kami menghadapi Roma dalam Liga Juara-Juara. Penting untuk kami menang setiap perlawanan dan sekarang kami perlu bersedia untuk menghadapi Roma,” katanya lagi.

Alvaro Morata dijangka akan diletakkan dalam kesebelasan utama pada Selasa ini, meskipun tidak menjaringkan empat gol selepas beraksi empat perlawanan sejak pulih daripada kecederaan hamstring ketika tumpas kepada Manchester City pada September lalu.

Bagaimanapun, Conte yakin terhadap pemain dari Sepanyol itu mampu menambah bilangan golnya yang kini sudah mengumpul tujuh jaringan.

“Saya gembira dia menunjukkan komitmen, semangat dan sedia untuk berjuang. Sudah pasti dia boleh lakukan dengan lebih baik namun jangan lupa Morata masih dalam proses pemulihan.

“Apabila anda berdepan masalah seperti ini anda memerlukan masa untuk pastikan fizikal berada dalam keadaan terbaik,” kata pengendali dari Itali itu lagi.