Tunku Ismail yang juga pemilik JDT berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa terdapat isu salah guna kuasa oleh golongan tertentu dalam mendapatkan tiket sehingga menyebabkan masalah seperti ini berlaku.
Terdahulu, berlaku insiden kekecohan penyokong Lang Merah ketika membeli tiket final Piala Malaysia di Stadium Darul Aman semalam sehingga mengheret pembabitan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan mengenai laporan yang dibuat kelab penyokong Kedah.
“Saya amat kecewa dengan sikap dan layanan yang telah diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah kepada penyokong-penyokong setia mereka. Penyokong yang beratur dan datang memberi sokongan setiap kali perlawanan di Stadium Darul Aman sebelum ini tidak dapat tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Sabtu ini.
“Tetapi individu yang tiada kena mengena dengan bola sepak sebaliknya yang dapat tiket melalui saluran tertentu. Saya dimaklumkan hingga 6,000 keping tiket telah ditempah oleh orang-orang tertentu dalam Kedah FA.
“Saya amat kecewa dengan layanan Kedah FA terhadap penyokong mereka, dan saya harap individu seperti ini tidak perlu berada dalam persatuan bola sepak. Lebih baik berundur sahaja dan bagi orang-orang yang layak yang mengutamakan penyokong serta dapat menjaga persatuan tersebut dengan tulus,” katanya menerusi laman Facebook JOHOR Southern Tigers.
Sementara itu, Tunku Ismail menjelaskan bahawa di Johor, beliau telah mengarahkan pengurusan kelab bola sepak itu menguruskan penjualan dan pengagihan tiket final secara telus.
“Di Johor, Menteri Besar Johor memohon tiket sebanyak 1,000 keping pun saya menolak permohonan tersebut. Saya hanya memberi setakat 600 tiket untuk para jemputan khas.
“Saya juga dimaklumkan terdapat individu-individu dalam parti politik yang bergaduh dan sabotaj antara satu sama lain berkenaan penjualan tiket perlawanan akhir ini. Siasatan sedang dilakukan mengenai perkara ini. Sekiranya tidak berlaku Alhamdulillah, tetapi jika didapati ia benar, bersedialah berjumpa dengan saya.
“Kepada individu-individu tersebut baik keluar dari negeri Johor. Di Johor tiada tempat orang-orang korupsi seperti ini. Bola sepak adalah hak milik rakyat dan bukannya untuk dipolitikkan,” tambahnya.
Tunku Ismail juga berharap insiden-insiden seperti ini tidak akan timbul lagi dan semua persatuan serta kelab-kelab dapat belajar dari kesilapan yang berlaku.
“Saya berharap semua persatuan dan kelab-kelab dapat belajar dari kesilapan ini kerana para penyokong adalah nadi kepada persatuan-persatuan dan kelab bola sepak,” ujarnya.