Korea Utara belasah Malaysia

By
Updated: November 11, 2017

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Hasrat Malaysia untuk melakar kemenangan pertama di bawah pimpinan jurulatih Nelo Vingada masih tidak kesampaian apabila dibelasah Korea Utara 4-1 dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand sebentar tadi.

Korea Utara berada di depan seawal minit ke-12 menerusi jaringan penalti Pak Kwang Ryong selepas bola terkena tangan kapten Harimau Malaya, Mohamad Fadhli Shas sebelum Kim Yu Song menggandakan kedudukan pada minit ke-42.
Bersambung babak kedua, gawang Malaysia sekali lagi dibolosi menerusi rembatan bola mati Kim Yong II pada minit ke-48 dan 10 minit kemudian giliran Jong II Gwan menjaringkan gol.

Gol saguhati Malaysia diperoleh menerusi jaringan penyerang muda, Safawi Rasid pada minit ke-67.

Meskipun berbaki dua perlawanan namun peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2019 semakin tipis apabila mereka bakal menentang Korea Utara pada 13 November ini di venue yang sama sebelum menentang Lebanon di Beirut.