Dalam aksi di Stadium Aviva itu, tindakan tuan rumah memberi banyak ruang kepada Christian Eriksen mengundang padah apabila bintang tengah Tottenham itu melakar hatrik pada minit ke-32, 63 dan 74.

Selepas terikat 0-0 dalam playoff pertama di Copenhagen minggu lalu, Ireland memulakan aksi dengan langkah kanan apabila membuka jaringan seawal minit keenam menerusi pemain pertahanan, Shane Duffy.

Bagaimanapun, tindakan mereka untuk tidak bermain secara bertahan biarpun mendahului 1-0 memakan diri sendiri apabila Andreas Christensen berjaya menyamakan kedudukan pada ke-29, sebelum hatrik Eriksen meletakkan pasukan pelawat selesa mendahului 4-1.

Ketika permainanan hanya menunggu masa untuk ditamatkan, Nicklas Bendtner menambah derita Ireland dengan meledak gol kelima pasukannya menerusi sepakan penalti.

“Ia perlawanan yang sangat positif. Pemain kami tidak langsung tertekan selepas ketinggalan 0-1.

“Kami cuba bermain seperti biasa dan berjaya mendapatkan semula rentak sebelum mencipta jaringan. Permainan kami kali ini lebih efektif berbanding di Parken (playoff pertama).

“Saya sangat gembira dengan pasukan kerana Ireland adalah tempat yang sukar untuk bermain bola sepak. Mereka mempunyai rekod pertahanan yang sangat mantap, jadi berjaya menghasilkan lima gol adalah perkara yang jarang berlaku.

“Sebenarnya, saya agak terkejut dengan taktik yang digunakan Ireland. Saya rasa mereka menggunakan formasi ‘berlian’ dengan meletakkan dua penyerang dan memberi lebih ruang kepada pemain tengah untuk bergerak. Keadaan itu memberi kelebihan kepada Eriksen, jadi saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi kami banyak ruang,” kata Hareide kepada Sky Sports.

Denmark muncul pasukan terakhir Eropah mengesahkan tiket ke kejohanan bola sepak paling berprestij itu, sekali gus bakal membuat penampilan kelima dalam Piala Dunia.