Pandangan itu disuarakan sendiri oleh legenda Liverpool dan bekas kaptem England yang juga merupakan pengulas sukan BT Sports, Steven Gerrard. Baik Chelsea mahupun Reds, masing-masing terpaksa mengharungi perlawanan Liga Juara-Juara.
Liverpool yang mendahului selesa dengan tiga gol mempersiakan peluang apabila diikat dengan keputusan seri 3-3 di Sevilla, Rabu lalu, manakala Chelsea berdepan laluan lebih mudah apabila membelasah Qarabag 4-0 dalam aksi kelayakan peringkat kumpulan, semalam.
Ini bermakna Chelsea kurang sehari rehat berbanding Liverpool menjelang pertemuan yang dijangka berlangsung pukul 5.30 petang waktu tempatan (1.30 pagi waktu di Malaysia).
Meskipun melakar kemenangan selesa, penyampai sukan BT Sport dan bekas penyerang Tottenham Hotspur serta England, Gary Lineker turut berpendapat, perjalanan jauh yang terpaksa dilalui Chelsea ke Azerbaijan bakal memberi kesan pada pertembungan itu.
“Salah satu bonus untuk Chelsea, cukup jelas ia tidak akan menggembirakan anda (Gerrard) kerana mereka telah mengharungi lawan lebih mudah, meskipun terpaksa menempuhi perjalanan meletihkan,” kata Lineker.
Gerrard berkata, bos Liverpool, Jurgen Klopp dan anak-anak buahnya pasti berharap Blues akan dilanda keletihan sewaktu perlawanan. Bagaimanapun, Gerrard sendiri tidak melihat masalah itu bakal menjadi isu kepada Chelsea dan berkata, sebaik wisel dibunyikan para pemain tidak akan berasa keletihan.
“Saya yakin Klopp dan para pemain berharap perjalanan yang jauh memberi kesan dan mereka tidak cergas. Pertemuan itu sukar buat Liverpool, saya berpendapat peluang 50-50,” kata Gerrard.
Liverpool sudah tentu mahu mengekalkan pencapaian tanpa kalah menentang Chelsea kepada enam pertemuan. Kali terakhir Blues tewaskan Liverpool ialah pada 8 November 2014, menerusi kemenangan 2-1 di Anfield.
Pada hakikatnya, Chelsea belum pernah tewas dalam lima perlawanan terakhir Liga Perdana di Anfield, dan kekalahan terakhir ialah pada 8 Mei 2012. Lima perlawanan tanpa kalah untuk Liverpool pula ialah termasuk dua kemenangan di Stamford Bridge.
Chelsea merupakan pasukan terakhir dalam Big Six yang belum ditemui Liverpool, musim ini, dan Reds hanya mengutip empat mata daripada empat perlawanan sebelum ini setelah menang ke atas Arsenal, seri menentang Manchester United dan tewas kepada Manchester City serta Tottenham Hotspur.