Dialog yang berlangsung lebih dua jam bermula kira-kira pukul 9 malam itu dijayakan empat ahli panel yang dianjurkan oleh Kelab-kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu.
Empat panel itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil ; Presiden Prersatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar dan wakil kelab penyokong Terengganu, Mohd. Radhi Abdullah Din manakala Khairul Amri Salah Pikri bertindak sebagai moderator.
Sesi dialog dan soal jawab itu berjalan lancar dalam suasana santai dan harmoni yang dihadiri lebih 100 peminat serta penyokong setia pasukan bola sepak Terengganu.
Minggu lalu, kerajaan negeri dan pihak PBSNT memutuskan skuad Penyu dan pasukan berstatus kelab, T-Team ‘dibubar’ sekali gus dibuat penstrukturan dan penjenamaan baharu yang dikenali sebagai Terengganu FC I (TFCI) dan TFCII bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar yang juga Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman selepas mempengerusikan Kongres Tahunan PBSNT 2017 di sini Selasa lalu yang turut dihadiri Timbalan Presiden I, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Presiden II persatuan itu, Marzuki Sulong.