Cagliari tumpas mengejut 1-2 di tangan kelab Serie C, Pordenone di Sardinia, sementara SPAL tewas 0-2 di laman sendiri kepada pasukan Serie B, Cittadella dalam aksi pusingan keempat.

Pordenone bakal menghitung pertemuan dengan Inter Milan di peringkat 16 terbaik pada 13 Disember ini, manakala Cittadella akan bertandang ke Rome untuk beraksi menentang Lazio.

Sampdoria pula selesa mendahului tiga gol dalam babak pertama menentang kelab Serie B, Pescara apabila David Kownacki meledakkan jaringan pembukaan seawal dua minit permainan, kemudian diikuti gol daripada Gaston Ramirez (minit ke-9) dan Gianluca Caprari (minit ke-31).

Pemain Poland, Kownacki menyumbat gol keduanya dalam perlawanan tersebut pada minit ke-74 dengan pemain tengah Libya, Ahmad Benali menjaringkan gol sagu hati buat Pescara.

Sampdoria yang kini menghuni kedudukan keenam dalam saingan Serie A akan bertandang ke Fiorentina untuk perlawanan peringkat 16 terbaik.