Bagaimanapun, pengurus dari Portugal itu berkata, skuad bimbingannya secara tiba-tiba hilang kestabilan sebaik sahaja pemain tengah Nemanja Matic dibawa keluar pada awal babak kedua ekoran masalah kecederaan otot.
United ketika itu mendahului selesa 3-0 sebelum tamat separuh masa pertama perlawanan yang berlangsung dalam cuaca sejuk membeku di Vicarage Road, terima kasih kepada Ashley Young yang meledakkan dua gol dan Anthony Martial menyempurnakan satu lagi jaringan.
Namun, selepas rehat, Hornets merapatkan jurang apabila berjaya menyumbat dua gol menerusi sepakan penalti pemain gantian Troy Deeney dan Abdoulaye Doucoure sebelum bintang muda United, Jesse Lingard memastikan kemenangan mutlak dengan menjaringkan gol empat minit sebelum perlawanan berakhir.
Kemenangan United itu hadir selepas mereka mengalami dua kekalahan berturut-turut di laman lawan dan skuad bimbingan Mourinho kini hanya berada lima mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City yang akan menentang Southampton esok.
“Dalam babak kedua sepatutnya kedudukan jaringan boleh ditambah kepada lima atau 6-0, kerana lebih mudah menjaringkan gol berbanding pada separuh pertama.
“Ini merupakan satu perlawanan mudah untuk meraih kemenangan selesa. Pada ketika kedudukan 3-2, perlawanan berlangsung seimbang, sebelum jaringan insiatif Lingard yang memastikan pertemuan itu menjadi milik kami.
“Dia (Lingard) dan Ashley Young telah menjaringkan gol yang hebat. Kami terlepas peluang untuk mendahului 4-0 dan Romelu Lukaku memiliki peluang terbuka di depan pintu gol, Paul Pogba pula berjaya melakukan tandukan tanpa dicabar.
“Kami sepatutnya sudah boleh menghisap cerut, tetapi mereka membiarkan lawan mencipta masalah,” kata Mourinho yang tidak menyembunyikan rasa kecewanya.
Mourinho berkata, sebaik sahaja Matic dibawa keluar, perlawanan yang sepatutnya diraih menerusi kemenangan selesa bertukar menjadi satu pertarungan sengit.
“Kami hilang kestabilan sebaik sahaja Nemanja Matic dibawa keluar, tetapi apa yang paling penting tiga mata penuh,” jelas bekas pengurus Chelsea itu. – AFP
P M S K J B Mt
Man. City 13 12 1 0 42 8 37
Man. United 14 10 2 2 32 8 32
Chelsea 13 8 2 3 24 11 26
Arsenal 13 8 1 4 23 16 25
Tottenham 14 7 3 4 22 12 24
Liverpool 13 6 5 2 25 18 23
Burnley 13 6 4 3 12 10 22
Watford 14 6 3 5 24 25 21
Leicester 14 4 5 5 19 20 17
Brighton 14 4 5 5 13 14 17
Southampton 13 4 4 5 13 15 16
Newcastle 14 4 3 7 13 19 15
Huddersfield 13 4 3 6 9 19 15
Bournemouth 13 4 2 7 11 14 14
Stoke 13 3 4 6 16 26 13
West Brom 14 2 6 6 12 21 12
Everton 13 3 3 7 13 28 12
West Ham 13 2 4 7 12 26 10
Swansea 13 2 3 8 7 15 9
Crystal Palace 14 2 3 9 8 25 9