Kim Swee mengakui pengalaman beraksi bersama Harimau Malaya adalah kelebihan kepada pemain muda negara namun menegaskan bahawa bukan faktor itu yang menjadi keutamaannya dalam memilih 23 pemain terakhir kelak, sebaliknya pengendali dari Melaka itu mahu anak-anak buahnya menunjukkan tingkah laku positif.
“Itu (pengalaman bersama skuad senior) tidak akan mempengaruhi keputusan saya untuk menyenaraikan 23 pemain terakhir. Mana-mana pemain, sama ada yang pernah beraksi bersama skuad senior atau bermain dalam pusingan kelayakan atau Sukan SEA 2017 tidak akan mendapat tiket automatik.
“Mereka perlu membuktikan kemampuan sebenar kerana ini (Kejohanan B-23 AFC 2018) adalah kejohanan paling tinggi bagi peringkat B-23 jadi pemain perlu menunjukkan sikap positif jika ingin kekal bersama pasukan. Itu kriteria utama saya.
“Bagaimanapun, tidak dinafikan pengalaman beraksi bersama skuad senior amat berguna namun jika ada pengalaman tetapi jika tiada sikap yang positif saya fikir itu tidak akan membantu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.