Conte berang dengan tingkah laku pemain Swansea yang sengaja membuang masa sepanjang separuh masa pertama di Stamford Bridge dan kekecewaan itu akhirnya meledak apabila pengadil, Neil Swarbrick gagal menghadiahkan sepakan sudut yang seharusnya diberikan kepada Chelsea.

Warga Itali itu berterusan melahirkan rasa tidak puas hatinya sehingga mendorong pengadil keempat, Lee Mason bertindak balas memaklumkan kepada Swarbrick, yang dengan pantas mengarahkan Conte berada di tempat duduk penonton.

Conte pada awalnya mengundurkan diri dengan duduk di balakang tempat duduk Chelsea, tetapi selepas itu dia terpaksa menyaksikan perlawanan babak kedua menerusi kaca televisyen di bilik persalinan pasukannya, sebelum bertemu Swarbrick dan Mason bagi mengucapkan permohonan maaf.

“Tidak mengapa untuk meminta maaf setelah apa yang berlaku sepanjang perlawanan. Saya mohon maaf kepada kedua-dua mereka. Pada separuh masa pertama saya melihat Swansea sengaja melengah-lengahkan masa. Saya telah mengadu kepada pengadil keempat beberapa kali.

“Namun, saya tidak melihat sebarang perubahan berlaku. Saya kecewa dengan situasi ini. Saya cuba memaklumkan kepada pengadil. Kemudian pengadil mengambil keputusan ini. Sudah tentu saya melakukan kesalahan. Saya cuma kecewa.

“Saya agak mendesak. Di atas alasan itu, pengadil keempat hilang sabar. Kesalahan itu berpunca daripada saya, bukannya pengadil keempat,” kata Conte yang boleh didenda di atas kesalahan pertamanya itu sejak berpindah ke Chelsea 18 bulan lalu.