Dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA menentang Thailand pada Ogos lalu, Haziq tertumbuk bola ke gawang sendiri dan jaringan itu menghadiahkan pasukan lawan kemenangan.
Bagaimanapun, keyakinan jurulatih skuad B-22 negara Datuk Ong Kim Swee kepada penjaga gol berusia 19 tahun itu nampaknya tidak terjejas disebabkan kesilapan itu apabila masih memberi kepercayaan kepadanya untuk menyertai kem latihan persediaan ke kejohanan yang akan berlangsung di China itu Januari depan.
Haziq berkata, apa yang berlaku dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur itu sudah lama dilupakannya dan sekarang dia hanya mahu fokus terhadap latihan dan meyakinkan Kim Swee bahawa posisi penjaga gawang No.1 skuad itu masih layak disandangnya.
“Secara peribadi, persiapan saya semakin teratur cuma saya perlu memastikan tahap saya berada di kedudukan tertinggi. Peluang yang saya dapat selepas ini saya perlu lakukan yang terbaik.
“Saya tidak mahu mengulangi kesilapan saya semasa Sukan SEA 2017. Bagi saya apa yang sudah berlaku itu biarkan. Tutup buku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Haziq perlu berebut tempat bersama tiga lagi penjaga gol yang turut dipanggil oleh Kim Swee dalam sesi latihan kali ini. Mereka adalah Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan) dan Amierul Hakimi Awang (Terengganu).
“Kami perlu bersaing secara sihat dan kami perlu membuktikan kelebihan masing-masing,” katanya.