Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai panggilan ke atas dua pemain yang berusia 17 tahun iaitu Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Shivan Pillay Asokan daripada senarai 30 pemain yang menjalani sesi pemilihan dan latihan untuk melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Bawah 23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Jiangsu, China, tahun depan.

Bagaimanapun, pengendali dari Melaka itu tidak menafikan bahawa dari segi pengalaman dua pemain itu dilihat masih cetek dalam saingan peringkat B-23 namun sekiranya mereka terpilih dalam senarai 23 pemain, ia sudah pasti memberikan mereka satu pengalaman dan pendedahan yang baik.

“Secara langsung, jika dilihat dari segi perbezaan umur… ini akan memberikan jurang yang banyak tetapi saya percaya Hadi terutamanya mempunyai fizikal yang cukup baik dan dia pasti dapat bermain dan bersaingan dengan pemain berusia 23 tahun.

“Pada masa yang sama jika mereka dipilih ini akan memberi mereka lebih pengalaman dan pendedahan yang baik untuk mereka bawa apabila bersama pasukan bawah 19 tahun nanti. Mereka harus melalui beberapa proses terutamanya perlawanan-perlawanan persahabatan di mana kita akan bermain dengan dua pasukan tempatan, tiga pasukan di Korea Selatan dan satu pasukan di China sebelum kempen bermula.

“Daripada situ, saya percaya mereka akan bertambah baik daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Saya harap mereka mampu mengambil peluang ini dan jika mereka mampu mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama, ini akan memberikan mereka lebih pengalaman dan juga keyakinan yang cukup tinggi pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Dalam kejohanan itu, Malaysia yang diletak dalam Kumpulan C bakal memulakan kempen menentang juara 2013, Iraq pada 10 Januari, diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari) .

Mengulas lanjut tentang tidak mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Asia Barat, Kim Swee menegaskan bahawa ini merupakan salah satu strategi untuk pasukan negara memberi kejutan kepada pasukan lawan itu.

“Saya tidak memilih untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan mereka kerana mahu membuat pasukan itu tertanya-tanya tentang rentak permainan pasukan negara. Jika kita bermain dengan pasukan Asia Barat mungkin ada pro dan kontra tetapi saya memilih untuk tidak bermain.

“Sekiranya kita bermain dengan salah satu pasukan dari sana, mereka pasti akan dapat menilai kita secara lebih mendalam, dengan bermain dengan pasukan lain kemungkinan mereka tidak tahu apa yang bakal kita lakukan nanti,” jelasnya.