Chelsea yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir sebelum ini, bagaimanapun gagal mempertahankan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan C.

Keputusan itu menyaksikan wakil Itali, AS Roma yang turut melakar kemenangan 1-0 ke atas Qarabag FK mara ke peringkat 16 terakhir sebagai juara kumpulan manakala Chelsea mengiringi mereka di tangga kedua.

Atletico pula akan ke saingan Liga Europa selepas menamatkan saingan di peringkat kumpulan di tangga ketiga.

Dalam perlawanan itu, Atletico terlebih dahulu didepan pada minit ke-56 apabila Saul Niguez menanduk masuk ke penjuru gawang selepas menerima hantaran bekas penyerang Chelsea, Fernando Torres.

Bagaimanapun, The Blues berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-75 apabila pertahanan Atletico, Stefan Savic tertampan hantaran lintang Eden Hazard ke gawang sendiri.