Bilbao mengesahkan tempat ke peringkat seterusnya setelah melakar kemenangan 2-0 ke atas Zorya Luhansk manakala Red Star menang tipis 1-0 ke atas Cologne.

Sementara itu, gol awal Andrea Petagna menyaksikan Atalanta mengekalkan rekod tanpa kalah pada peringkat kumpulan Liga Europa apabila menewaskan Lyon 1-0 manakala AC Milan dikejutkan dengan kekalahan 0-2 di tangan Rijeka di Croatia.

Atalanta, yang masih segar dengan kejayaan membelasah Everton 5-1 dua minggu lalu, mengetepikan Lyon bagi menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan E dengan bekas penyerang Milan, Petagna menjaringkan gol keempatnya musim ini pada minit ke-10.

Dalam pada itu, Everton mencatat kemenangan kedua dalam dua perlawanan di bawah kendalian pengurus baharu, Sam Allardyce apabila membenam Apollon Limassol 3-0 di Cyprus biarpun bekas bos England itu tidak menyertai pasukan kerana menjalani pemeriksaan kesihatan.

Untuk satu lagi perlawanan, Gennaro Gattuso masih menunggu kemenangan pertama sebagai jurulatih Milan selepas tewas 0-2 di tangan Rijeka.

Milan bagaimanapun menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan D manakala Rijeka terlepas peluang menyertai kelab Itali itu ke pusingan 32 terakhir selepas AEK Athens memintas kedudukan di tangga kedua hasil keputusan seri tanpa jaringan dengan Austria Vienna.