Strategi Pep Guardiola yang merehatkan sembilan tonggak jelas hampir memakan diri apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dilihat gagal mempamerkan taring sebenar sepanjang saingan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat 120 minit masa permainan.

City dan Leicester yang pernah menjulang trofi berkenaan sebanyak tujuh kali tampil dengan motivasi tinggi sepanjang perlawanan itu meskipun Guardiola serta rakan sejawatnya, Claude Puel sekadar membariskan skuad kedua.

Di sebalik rombakan besar-besaran itu, The Citizens tetap menunjukkan aksi cemerlang terutamanya menerusi bintang muda England, Phil Foden yang memiliki dua peluang terbaik untuk mencetak nama selaku penjaring.

Dalam aksi itu, skuad kendalian Guardiola terlebih dulu di depan tuan rumah menerusi sentuhan Bernardo Silva pada minit ke-26, sebelum Leicester bangkit di babak kedua dengan penyerang gantian, Jamie Vardy menyamakan kedudukan 1-1 di hujung saingan untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Bagaimanapun, kebangkitan dramatik tuan rumah itu gagal diteruskan dalam penentuan penalti apabila Vardy dan Riyad Mahrez gagal menyempurnakan tendangan sekali gus memberi kelebihan kepada pelawat untuk mara ke separuh akhir.

Sementara itu, Arsenal turut mara setelah melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas West Ham di Stadium Emirates sekali gus memastikan dua aksi separuh akhir bakal berlangsung sengit apabila membabitkan empat pasukan ‘Big Six’ bola sepak Inggeris.

Jaringan tunggal penyerang The Gunners, Danny Welbeck pada minit ke-42 telah cukup untuk memusnahkan impian anak buah David Moyes.

Dua lagi aksi suku akhir dijadualkan berlangsung awal pagi esok waktu Malaysia dengan Manchester United akan berkunjung ke Bristol City, sementara Chelsea bakal menanti kehadiran Bournemouth di Stamford Bridge.