Christensen ‘buka mata’ Conte

By
Updated: December 21, 2017

LONDON: Persembahan cemerlang tonggak pertahanan muda Chelsea, Andreas Christensen jelas mengagumkan pengurusnya, Antonio Conte.

Malah, Conte turut percaya pemain berusia 21 tahun itu mempunyai bakat yang luar biasa untuk mengikut jejak langkah John Terry di kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Bekas pemain antarabangsa England, Terry berkembang menerusi sistem pasukan belia Chelsea dan beraksi lebih daripada 650 penampilan bersama skuad senior.

Malah, Terry menggalas tugas sebagai kapten pasukan sejak 2004 dan memenangi lima gelaran liga dan Piala FA bersama beberapa trofi lain.

“Ia adalah perbandingan besar – John Terry mengukir sejarah kelab ini dan memenangi banyak gelaran,” kata Conte kepada pemberita.

“Saya harap Christensen mempunyai kerjaya yang sama seperti John. Saya fikir dia mempunyai karektor yang tepat untuk bermain bersama kelab ini bagi tempoh beberapa tahun dan menjadi pemain penting.

“Setiap kali saya memutuskan untuk memberi peluang kepadanya bermain, dia akan beraksi dengan prestasi yang luar biasa.

“Persembahannya meyakinkan saya bahawa Christensen harus bermain dengan lebih kerap.”

Terry, 37, menyertai pasukan Liga Kejuaraan (liga kedua) Aston Villa sebelum bermula musim ini.