Namun, jika dilihat kepada aksi pemainnya di Ashton Gate, skuad kendalian Mourinho gagal mengawal permainan dengan baik meskipun hampir menjaringkan gol pada separuh masa pertama menerusi Zlatan Ibrahimovic dan Marcus Rashford.

Bristol yang nyata inginkan kemenangan memecah kebuntuan menerusi jaringan pada awal separuh masa kedua menerusi Joe Bryan tetapi Ibrahimovic berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan bebas.

Ketika perlawanan hampir memasuki masa tambahan, Korey Smith meranapkan impian United untuk mempertahankan trofi kejuaraan menerusi jaringan cantik untuk membawa pasukannya ke separuh akhir.

Bagaimanapun, Mourinho percaya bahawa Bristol hanya bernasib baik dalam perlawanan itu.

“Saya fikir mereka hanya bernasib baik tetapi mereka bekerja keras untuk menerima nasib yang baik.

“Mereka menang ketika kami tidak mempunyai peluang untuk bangkit.

“Saya perlu katakan mereka bernasib baik. Dua percubaan kami terkena palang tetapi kami beraksi dengan baik seperti mempertaruhkan nyawa.

“Ini merupakan hari yang menarik untuk bola sepak. Saya tidak mahu menyatakan nasib baik sebagai perkara utama.

“Asakan yang ditampilkan mereka dari segi fizikal dan mental sangat baik kerana mereka tahu ini adalah perlawanan besar.

“Mereka masih bernasib baik tetapi kami tidak begitu teruk, seperti jaringan pada separuh masa kedua, kami adalah pasukan terbaik dan kami cuba untuk menang dalam 90 minit.

“Mereka sangat bernasib baik pada penghujung permainan tetapi sekali lagi saya ingin menyatakan nasib baik bukan perkara utama kerana kami tahu macam mana perasaan apabila kalah dan kami berharap mereka akan beraksi cemerlang dalam separuh akhir,” kata Mourinho.