Ini bermakna penjaring terbanyak kelab itu akan terlepas perlawanan di Goodison Park menentang Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris Sabtu ini, dengan Conte menggambarkan ketiadaan Morata merupakan satu kerugian besar.

Morata muncul wira Chelsea hari ini biarpun turun selaku pemain gantian apabila jaringannya menyaksikan The Blues bakal berdepan Arsenal dalam separuh akhir nanti.

“Perkara paling penting adalah kami mengesahkan diri ke separuh akhir. Musim lepas, jika anda masih ingat, kami tersingkir dalam pusingan kedua menentang West Ham.

“Musim ini kami perlu gembira dengan pencapaian ini, untuk meloloskan diri ke separuh akhir dalam salah satu daripada dua piala di England. Itu sesuatu yang hebat bagi kami, terutama selepas kami mara ke separuh akhir dengan kerap menukar pemain.

“Ini jelas menunjukkan saya mendapat respon yang baik daripada semua pemain. Saya harap saya dapat meneruskannya dengan cara sebegini,” kata Conte.

Mengulas mengenai ketiadaan Morata menentang Everton nanti, Conte berkata kehilangannya amat merugikan kerana mereka perlu berdepan pasukan hebat.

“Biarpun pahit, namun kami perlu menelannya,” ujarnya.

Terdahulu, Chelsea berada di depan menerusi Willian pada babak pertama sebelum Dan Gosling menyamakan kedudukan untuk Bournemouth pada minit ke-90.

Selepas 75 saat, Morata yang menggantikan Michy Batshuayi pada minit ke-73 melakukan kejutan dengan menjaringkan gol kemenangan.

Pengendali Bournemouth, Edie Howe menyifatkan kekalahan pada saat-saat akhir perlawanan tersebut sebagai aksi yang menyayat hati bagi pasukannya.