United akan melayani kunjungan Burnley di Old Trafford malam ini (pukul 11 malam waktu Malaysia), manakala pendahulu liga City, yang berkelebihan 13 mata di hadapan skuad Red Devils akan menentang Newcastle malam esok (Khamis pukul 3.45 pagi waktu Malaysia).

Sabtu lalu, skuad bimbingan Mourinho terikat 2-2 ketika menentang Leicester, yang juga keputusan seri pertama dalam tempoh 10 hari perlawanan.

“Saya tidak mempersoalkan keistimewaan City, yang mempunyai enam hari untuk kembali cergas dan menikmati saingan selain membolehkan mereka membuat persediaan rapi untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

“Ia hanya mengenai cuti Hari Natal yang menyaksikan kami beraksi lebih awal daripada mereka.

“Ini bermakna, mereka tidak bertugas hari ini dan mereka boleh kembali bekerja esok serta membuat persediaan. Masalah yang saya lihat adalah terdapat perbezaan pada sesetengah pasukan.

“Ini yang saya katakan, ‘mimpi ngeri’ Disember dalam saingan Liga Perdana sudah tiba. Sebahagian pemain hanya beraksi selama 15-20 minit dan tidak kekal di atas padang hingga 90 minit.

“Memang ia terpulang kepada pelbagai faktor, namun itu sebab saya katakan tadi ini adalah ‘mimpi ngeri’ Disember,” kata pengurus United, Mourinho kepada Sky Sports hari ini.