Guardiola mahu pengadil lebih tegas

By
Updated: January 2, 2018

LONDON 1 Jan. – Menyaksikan Kevin De Bruyne hampir mengalami kecederaan serius telah membuatkan pengurus Manchester City, Pep Guardiola menggesa perlindungan pemain dipertingkatkan apabila pasukannya gagal mempertahankan kemenangan ke-18 berturut-turut.

De Bryune diusung keluar padang selepas dikasari oleh pemain tengah Crystal Palace, Jason Puncheon ketika City terdesak mencari gol di Selhurst Park dan mereka bernasib baik apabila penalti Luka Milivojevic di­selamatkan oleh penjaga gol The Citizens, Enderson.

Kecederaan yang dialami oleh pemain kebangsaan Belgium tersebut tidak begitu serius namun memberi kebimbangan kepada Guardiola yang berkata De Bryune berkemungkinan tidak akan diturunkan bagi menghadapi Watford di Etihad.

Advertisement

Powered By YuMe
Bukan itu sahaja, City ditimpa malang selepas penyerang, Ga­briel Jesus terpaksa dikeluarkan pada babak pertama setelah mengalami kecederaan dan Guardiola berkata pemain Brazil tersebut terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya selama satu atau dua bulan.

Bagaimanapun, kebimbangan utamanya adalah terhadap terjahan keras yang dilakukan oleh Puncheon dan Guardiola percaya kekerasan seperti itu boleh menyebabkan kecederaan serius terhadap pemain untuk perlawanan seterusnya.

“Saya faham dengan cabaran fizikal dalam Liga Perdana Ing­geris (EPL) namun pengadil perlu melindungi pemain. Bukan sahaja pemain terbaik tetapi kesemuanya.

“Saya tidak bercakap perkara ini kepada FA (Persatuan Bola Sepak Inggeris). Mereka lebih memberi tumpuan kepada kesalahan pemain menjatuhkan badan. Saya tahu terjahan seperti itu dibenarkan di kebanyakan negara namun perlu ada batasnya.

“Garis panduan ada dan jika anda melebihinya itu bahaya. Kami bernasib baik kerana masih mempunyai pemain. Adakalanya perkara ini berlaku disebabkan bola sepak berlaku dengan pantas dan mereka tidak berniat untuk menyakiti antara satu sama lain. Bagaimanapun (kekasaran seperti itu) boleh menyebabkan pemain direhatkan lebih lama,” katanya.