KUALA LUMPUR 4 Jan. – Bekas penyerang Indonesia, Ferdinand Sinaga sah bakal menguatkan cabaran The Red Warriors (TRW) musim ini selepas diperkenalkan secara rasmi oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan di Kota Bharu, sebentar tadi.
Biarpun masih mempunyai kontrak dengan pasukannya di Indonesia, PSM Makassar, namun Ferdinand, 29, akan memulakan karier bersama TRW secara rasmi pada 1 Februari depan.
Kehadiran Ferdinand dan penyerang kelahiran Brazil, Bruno Lopes yang dijangka tiba di Kota Bharu malam ini mampu menguatkan jentera serangan Kelantan yang membawa misi melakukan kebangkitan selepas mengharungi musim mengecewakan tahun lalu.
“Ferdinand Sinaga akan bersama Bruno Lopes yang dijangka tiba di Kota Bharu malam ini untuk menguatkan jentera Kelantan.
“Terima kasih kepada pihak beliau (PSM Makassar) yang membenarkan beliau datang bersama kita hari ini (sidang akhbar) walaupun masih di dalam kontrak.
“Kontrak beliau bersama kita akan bermula pada 1 Februari, 2018,” kata Bibi Ramjani kepada pemberita.
Ferdinand yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Indonesia menjadi pilihan Kelantan untuk memenuhi kuota import Asia Tenggara selepas kegagalan mendapatkan pemain Filipina, Misagh Bahadoran.
“Saya mampu memberikan yang terbaik jika ada tekanan daripada penyokong,” kata Ferdinand yang dipetik oleh Facebook Kelantan FA.