Pengendali kelahiran Portugal itu hanya tertawa apabila komitmennya dipersoalkan disebabkan dia menyewa sebuah apartmen di Lowry Hotel dan tidak membeli rumah sejak tiba di Old Trafford pada Jun, 2016.
“Kalau peminat mahu saya selesa, cara ini membuatkan saya selesa. Saya seorang yang pemalas.
“Saya suka duduk di hotel dan semua orang tidak perlu bimbang kerana saya bukan tinggal dalam bilik dengan saiz dua meter persegi.
“Saya tinggal dalam sebuah apartmen yang mana saya memiliki segala keselesaan dan sokongan (servis hotel) yang diperlukan.
“Kalau mereka bimbang kerana saya selesa, gembira dan mendapat semua yang diperlukan, mungkin mereka mahu saya berpindah dan tinggal di sebuah rumah.
“Sudah tentu saya tidak suka keadaan itu kerana ia akan membuatkan saya rasa sunyi, jauh dari pembantu dan ia akan menjadikan saya seorang lelaki yang murung. Seorang lelaki murung tidak boleh bekerja dengan baik,” kata Mourinho kepada pemberita.
Akhbar Britain, Daily Star semalam melaporkan, kebimbangan kini meningkat dalam kalangan kakitangan kelab bahawa Mourinho mungkin meninggalkan United pada hujung musim ini kerana tidak gembira di Manchester.
Jurulatih berusia 54 tahun itu kerap berulang alik dari Manchester ke London kerana keluarganya enggan berpindah, malah sanggup menyewa jet peribadi ketika pasukannya mengharungi jadual padat, terutama sebelum dan selepas sambutan Krismas, bulan lalu.
Spekulasi juga bertiup kencang, hubungan Mourinho dengan pegawai kanan kelab semakin dingin dan dia tidak gembira dengan pihak pengurusan kerana enggan menyokong beberapa permintaannya seperti mendapatkan pertahanan England, Danny Rose dari Tottenham.
Mourinho bagaimanapun menegaskan laporan itu karut, malah dia sedang memperhalusi kontrak sedia ada dan mungkin menyambung kontrak sehingga Jun, 2020 atau lebih lama lagi.
“Kalau anda mahu saya bercakap tentang semua laporan ini, saya akan kata ia ‘sampah’. Saya tidak nampak perkataan lebih sesuai untuk menggambarkan berita yang ditulis.
“Kalau anda bertanya terus kepada saya, jawapan saya mudah…Jika saya mahu tinggalkan kelab ini, saya akan beritahu, tetapi saya tidak pernah berkata apa-apa kerana saya tidak ada niat langsung untuk pergi,” kata bekas jurulatih Real Madrid, Chelsea dan Inter Milan itu lagi.