Jaringan daripada Luis Suarez dan Paulinho kemudian menyusul selepas gol ke-365 Messi itu, sekali gus menyaksikan Barcelona selesa berada di persada carta La Liga, sembilan mata di depan anak tangga kedua Atletico Madrid.

Mereka turut melebarkan jurang 16 mata daripada juara bertahan yang kini menghuni anak tangga keempat Real Madrid, yang meraih keputusan seri 2-2 menentang Celta Vigo selaku pasukan pelawat. Dua jaringan Madrid disumbangkan oleh Gareth Bale.

Barcelona yang masih memegang rekod bersih tanpa kalah musim ini, membuat pengumuman rasmi dengan memperkenalkan bintang Brazil, Coutinho yang dibeli dari Liverpool bernilai 160 juta euro (RM769 juta), hari ini.

Pada ketika ramai yang memperkatakan tentang Coutinho, jurulatih Ernesto Valverde menggesa anak-anak buahnya agar kekal fokus untuk memenangi La Liga musim ini, selepas menundukkan Madrid 3-0 pada pertembungan El Clasico, 23 Disember lalu.

“Levante belum pernah kalah sejak September lalu. Kami sangat bagus pada babak pertama, namun rentak itu tidak sama pada separuh masa kedua,” kata Valverde.

Rekod pembelian Barcelona sebelum ini adalah ketika mendapatkan khidmat Ousmane Dembele yang bernilai 105 juta euro (RM504 juta) pada musim panas lalu.

Bekas pemain Borussia Dortmund itu tersenarai buat pertama kali dalam kesebelasan utama Barca selepas empat bulan diketepikan ekoran kecederaan hamstring.