City, yang unggul di persada Liga Perdana Inggeris, terpaksa mengambil masa sehinngga minit ke-92 untuk merobohkan tembok pertahanan yang kukuh daripada Bristol apabila pemain kebangsaan Argentina, Aguero menyumbat gol kemenangan buat tuan rumah.

Pasukan pelawat terdahulu membuka jaringan menerusi penalti oleh Bobby Reid pada minit ke-44, sebelum perancang City Kevin De Bruyne menyamakan kedudukan 11 minit kemudian.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Pep Guardiola berada di depan menjelang aksi timbal balik pada 24 Januari ini.

“Saya kagum dengan pemain saya kerana dalam bola sepak, jika anda berpotensi untuk menang, anda juga berupaya untuk kalah. Tetapi kami cuba sehingga ke penghujung.

“Kami banyak memenangi perlawanan pada saat-saat akhir kerana kami tidak mudah menyerah kalah,” kata Guardiola kepada Sky Sports.

Dengan pencapaian City yang masih belum ditumpaskan dalam saingan domestik musim ini, sukar untuk menggambarkan mereka bertungkus-lumus untuk menumbangkan skuad kendalian Lee Johnson di laman sendiri.