Bintang Brazil, Countinho yang berhijrah ke Barcelona baru-baru ini adalah watak penting Liverpool sebelum menyertai kelab gergasi Sepanyol tersebut dengan harga 142 juta pound (RM773 juta), namun skuad Reds masih berupaya berdiri sendiri dengan mengalahkan City.
“Saya akui memang benar (kami masih mampu menang meskipun tanpa Coutinho).
“Saya telah beritahu kepada pemain saya dalam mesyuarat, ‘Okey semua, jika anda menang pada malam ini, tiada siapa yang akan bercakap tentang Philippe Coutinho’. Kami sebenarnya lebih gemar bercakap tentang dirinya.
“Kami kena terima hakikat bahawa dia telah berpindah ke rumah baharu di Barcelona dan kami juga gembira dengan kemenangan malam ini. Sudah tentu bagi kami, ia sangat penting untuk menunjukkan kemampuan sekali pun tanpanya.
“Jadi, ini adalah satu kenyataan terpenting, sama sekali,” kata Klopp.
Terdahulu, Alex Oxlade-Chamberlain membuka tirai jaringan buat Reds seawal minit kesembilan, namun City berjaya memadamkan kelebihan itu apabila Leroy Sane menyamakan kedudukan 31 minit berselang.
Bagaimanapun, tiga gol dalam tempoh sembilan minit yang dilakukan Liverpool memasuki babak kedua mencalarkan rekod cemerlang City yang dikendalikan Pep Guardiola.
Roberto Firmino memulakan pesta tiga gol Liverpool itu pada minit ke-59 diikuti Sadio Mane (minit ke-61), sebelum penyerang antarabangsa Mesir, Mohamed Salah meledak gol keempat tujuh minit kemudian.
City bagaimanapun cuba bangkit mengejar menerusi gol Bernardo Silva (minit ke-84) dan Ilkay Gundogan (minit ke-90+1), namun tetap terlambat untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan.
“Saya menikmati perlawanan hari ini. Saya dapat lihat kedua-dua pasukan memberikan segalanya di atas padang. Mereka cuba bermain bola sepak tanpa membuat kesilapan.
“Satu komersial yang baik untuk Liga Perdana. Seluruh dunia menyaksikan perlawanan ini. Jika seseorang itu tidak berminat dengan bola sepak dia mungkin akan kata, ‘Oh, sebab itu anda selalu menonton setiap masa’,” katanya.