Selain itu, tumpuan juga terarah kepada Kumpulan A apabila Port Dickson yang tidak pernah mencatatkan sebarang kekalahan dalam saingan peringkat Zon Selatan bakal berdepan Tentera Darat FA, SPS- Chelstar dan Klang.

Kumpulan B pula menyaksikan pertembungan Rantau Panjang, Kuala Pilah, Kangsar KSMR manakala Miri, Tawau, Keningau dan Kuching Gedong Gators dalam Kumpulan D.

Sebanyak 16 pasukan daripada lapan zon di seluruh negara berentap pada peringkat kebangsaan itu yang dibahagikan kepada empat kumpulan dengan juara dan naib juara layak secara automatik ke suku akhir.

Bagi pengurus Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, selaku penyandang juara musim lalu, Gua Musang tidak akan memandang mudah cabaran tiga pasukan dalam Kumpulan C itu.

“Walaupun Gua Musang tampil dengan status juara tahun lalu namun kami lebih selesa turun sebagai pasukan bukan pilihan. Kami hormati dan tidak sesekali perkecilkan kemampuan pasukan lain.

“Tambahan pula, saya lihat kebanyakan pasukan yang layak kali ini cukup kuat dan ia memberi isyarat bahawa kami perlu bekerja keras kerana tidak ada sesuatu yang mudah apabila beraksi di peringkat ini,” katanya.

Sementara itu dalam saingan Kumpulan D pula, Miri yang dilihat antara pasukan pilihan untuk melangkah lebih jauh giat menjalani latihan bagi memastikan kecergasan dan keserasian pemain.

“Kita tahu cabaran lebih getir tapi saya percaya pemain akan terus berjuang menjadi pasukan teratas dalam saingan itu nanti.

“Pemain kini sibuk dengan latihan kecergasan selepas bercuti seminggu dan semua pemain berada di tahap kemuncak untuk bersaing,” katanya jurulatih Miri, Mohd Hakimi Man.

Miri melangkah ke peringkat kebangsaan selepas skuad Sibu gagal menghadirkan diri dalam perlawanan playoff Liga Bola Sepak Rakyat Zon Sarawak pada 23 Disember lalu.


KEDUDUKAN PASUKAN YANG LAYAK KE PERINGKAT KEBANGSAAN MUSIM 2017/2018

KUMPULAN A
Tentera Darat FA
Port Dickson
SPS Chelstar
Klang

KUMPULAN B
TGI Kuala Pilah
Rantau Panjang
Kangsar KSMR
Ipoh

KUMPULAN C
Bandar Baharu
Jerantut
Kepong Premier FC
Gua Musang

KUMPULAN D
Miri
Tawau
Keningau
Kuching Gedong Gators.