Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada berkata, Yakult sangat berbesar hati untuk meneruskan tajaan pada musim ini kepada skuad The Red Warriors memandangkan pasukan tersebut berpotensi besar untuk melangkah jauh kali ini.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak negara, walaupun terlalu sibuk dengan mesyuarat di merata tempat namun saya sering mengisi jadual saya dengan menonton perlawanan secara langsung terutamanya jika pasukan TRW beraksi.”

“Selama mengikuti perkembangan pasukan ini, saya melihat mereka mempunyai peluang yang besar untuk menjuarai liga musim kali ini seterusnya mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Kelantan. Kami berbangga menjadi sebahagian dari keluarga TRW.

“Matlamat utama kerjasama ini juga adalah untuk kesihatan di mana menerusi kajian saintifik yang telah di jalankan, minuman Yakult terbukti dapat membantu merangsang semula pertahanan badan selepas bersukan bagi mengurangkan jangkitan selsema.

“Perkara ini akan dapat membantu pemain pasukan ini untuk kekal lebih sihat bagi mengahdapi saingan liga,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena majlis tadatangan penajaan The Red Warriors di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Illias Khan menyambut baik dan berbesar hati dengan keputusan syarikat dari Jepun itu untuk bersama pasukannya lagi.

“Saya rasa bangga kerana Yakult setia menyokong pasukan ini, dengan harapan untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negeri Kelantan. Saya yakin dan percaya jenama Yakult akan terus berkembang maju di negara ini memandangkan ia amat diminati oleh semua peringkat umur selain memberikan manfaat kesihatan yang menyeluruh,” ujarnya.

Sebagai rekod, penglibatan jenama Yakult dalam bola sepak bukanlah perkara yang asing lagi. Yakult telah menjadi penaja rasmi bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di mana setiap minuman Yakult yang terjual akan di sumbangkan sebanyak 1 sen kepada FAM untuk pembangunan bola sepak Negara.