Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata pihaknya mengambil inisiatif untuk menaikkan semangat pemain dan barisan kejurulatihan Malaysia apabila mengedarkan 3,000 botol minuman probiotik tersebut kepada mereka.

Katanya lagi, dia berasa yakin dengan kemampuan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk menewaskan Korea Selatan selepas menyaksikan kejayaan pasukan negara melepasi peringkat kumpulan kejohanan.

“Malaysia B-23 sudah mencipta sejarah dengan mara ke suku akhir. Bagi saya dalam bola sepak tiada apa yang mustahil kerana jika Jepun juara bertahan boleh tumpas kepada Uzbekistan (4-0) mungkin Malaysia juga boleh mencipta kejutan.

“Saya berharap Malaysia dapat menewaskan Korea Selatan agar mereka boleh bertemu Uzbekistan di peringkat separuh akhir kejohanan. Saya dari Jepun namun itu tidak menghalang saya daripada menyokong Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.