Malaysia menamatkan persa­ingan dalam Kejohanan AFC Bawah 23 di sini dengan reputasi tinggi walaupun tewas kepada Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan suku akhir. Walaupun tentunya kecewa, namun kekalahan itu berlaku selepas skuad muda negara mempamerkan permainan membanggakan dan memaksa kuasa bola sepak Asia itu bekerja keras hingga minit terakhir untuk memastikan kemenangan.

Skuad negara hadir ke China tanpa disandarkan harapan namun mencipta sejarah apabila mara suku akhir selepas menumpaskan pa­sukan pilihan Arab Saudi 1-0 setelah sebelumnya seri 1-1 dengan Jordan, yang merupakan naib juara edisi pertama pada 2013 dalam perlawanan peringkat awal.

Sepanjang kempen edisi ketiga ini, anak-anak buah Kim Swee bermain tanpa rasa takut kepada lawan yang memiliki reputasi lebih tinggi, dan membuktikan betapa matangnya permainan mereka selepas kekalahan 4-1 kepada Iraq dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Nota cemerlang itu membuatkan Kim Swee berasakan perlunya sasaran lebih tinggi diletakkan kepada skuadnya dengan Olimpik 2020 di Tokyo menjadi sasarannya walaupun mengakui cabaran adalah lebih sukar.

Untuk beraksi dalam temaysa terbesar di dunia itu bermakna skuad negara perlu menamatkan Kejohanan AFC B-23 edisi 2020 dalam kelompok tiga pasukan terbaik dan Kim Swee menegaskan persediaan rapi perlu bermula dari sekarang.

“Layak ke suku akhir kejohanan ini adalah penanda aras yang cukup baik, dan bagi saya untuk kejohanan seterusnya kita perlu ada sasaran.

“Melihat kepada kejayaan kita di sini, sudah tentu sasaran pada masa depan mesti lebih tinggi. Tidak mustahil untuk mencapainya dengan syarat kita perlu bersedia daripada sekarang.

“Kita tidak boleh letak sasaran ketika kejohanan hendak bermula. Kita ada dua tahun lagi untuk menghadapi kejohanan akan datang. Selepas ini, kejohanan ini akan memberikan tempat untuk ke Sukan Olimpik 2020.

“Langkah saya tidak akan berhenti di sini. Sasaran peribadi saya adalah layak ke Olimpik 2020 walaupun tidak dinafikan untuk muncul tiga pasukan terbaik dalam kejohanan seterusnya bukan mudah,” katanya di sini hari ini.

Katanya lagi, 12 pemain dalam skuadnya ketika ini masih layak beraksi untuk kejohanan edisi seterusnya dan Sukan Olimpik 2020, bermakna ketika itu permainan mereka seharusnya sudah semakin matang.

Mngulas mengenai kekalahan tipis kepada Korea Selatan di Stadium Kunshan semalam, jurulatih dari Melaka itu mengakui perlawanan itu menghidangkan banyak perkara yang dapat dipelajari pasukannya.

“Ini satu pencapaian yang positif kerana bukan sahaja kita layak tetapi kita dapat corak permainan yang diingini, itu lebih penting. Kita ada keyakinan untuk bermain seperti pasukan lain.

“Namun, kita tidak boleh bepuas hati dengan apa yang ada. Saya perlukan banyak ruang untuk mengenal pasti apa yang perlu dilakukan seterusnya. Saya juga fikir ini petanda positif untuk Sukan Asia 2018.

“Pemain menerima banyak pendedahan daripada kejohanan ini, yang mana kita boleh melihat corak permainan pasukan lawan, beraksi dalam perlawanan ber­intensiti tinggi serta menggunakan corak permainan yang berbeza,” jelasnya.